Minggu pertama NSL 2023 mengujakan
TERUJA, itu perkataan yang mahu saya gunakan pada minggu pertama NSL 2023.
Edisi ketiga ini telah memberikan satu impak yang besar kepada seluruh peminat bola jaring di tanah air.
Minggu pertama telah menyaksikan 10 perlawanan yang telah meletakkan Johor Jewels di tangga teratas diikuti oleh Kl Wildcats, Perak Pheonix, Terengganu Marvels, Putrajaya Dynamites, Selangor Angels, Pahang Tulips dan Negeri Sembilan Venom.
Seramai 11 atlet import dalam NSL 2023 telah berganding bahu memberikan kemenangan untuk pasukan masing-masing. Kehadiran atlet import ini juga telah mengubah banyak mutu sukan bola jaring tanah air.
Ini memberikan rentak permainan bertaraf dunia kepada atlet tempatan lebih-lebih lagi dengan kehadiran atlet import khususnya bagi atlet Uganda yang berada di tempat kelima dalam Kejohanan Dunia baru-baru ini.
Johor Jewels tampil mendominasi kesemua perlawanan dengan menampilkan 12 atlet berpengalaman daripada edisi NSL 2022 lalu bersama atlet import dari South Africa, Adri Sheila Jean Kannemeyer dan atlet dari Sri Lanka, Gayani Samanthika yang diberi kepercayaan sekali lagi selepas mendapat gelaran Best Defender NSL 2022.
Pasukan gergasi Johor Jewels yang dilatih oleh Tracer Robinson telah menunjukkan permainan yang sengit menentang KL Wildcats dalam saingan pertama yang akhirnya kemenangan berpihak kepada Johor Jewels.
Minggu pertama, Johor Jewels masih mengekalkan kedudukan teratas selepas memenangi semua perlawanan. Adri Sheila Jean Kannemeyer, Gayani Samanthika dan Nurfariha Abdul Razak antara atlet Johor Jewels yang mendapat gelaran pemain terbaik pada minggu pertama NSL 2023.
Manakala KL Wildcats yang dilatih oleh jurulatih Norizan Rejab mengambil langkah berani dengan menurunkan kesemua atlet muda bersama 2 atlet Uganda, Nassanga Shadiah Ssegujja dan Nalwanja Shaffie yang mewakili Kejohanan Dunia 2023.
Seiring dengan status atlet bertaraf dunia, Nalwanja Shaffie memperoleh jumlah pintasan bola paling tinggi pada minggu pertama NSL 2023. KL Wildcats dengan atlet tanpa pengalaman beraksi dalam NSL edisi yang lepas mampu mencabar Juara NSL 2022 dengan jurang 2 mata.
KL Wildcats kembali menguasai gelanggang setelah tewas kepada Johor Jewels apabila berjaya mendapat 6 mata kemenangan menentang Putrajaya Dynamites dan menang bergaya menentang Selangor Angels.
Antara atlet muda KL Wildcats dalam NSL 2023, Nursolieha Alieya Hizal yang berusia 18 tahun telah mendapat gelaran pemain terbaik semasa menetang Selangor Angels.
Kehadiran pemain import telah mengubah corak permainan Perak Phoenix di bawah bimbingan jurulatih Noorahiza Azami telah memberi tentangan hebat kepada Johor Jewels namun gagal menggoyah rentak permainan Johor Jewels dan menduduki tempat ketiga pada minggu pertama NSL 2023.
Kombinasi antara atlet muda tempatan dan atlet bertaraf dunia telah membuktikan bahawa keserasian Perak Pheonix pada tahap terbaik sehingga Namulumba Christine Kango merupakan penjaring terbanyak dengan jaringan 127 dan Nalumba Christie Kango antara atlet yang yang perlu diberikan perhatian pada NSL 2023.
Tidak ketinggalan, Nurul Eska Syafinie Mohamad Nizam berjaya menghalang Arirak Ampharat, penjaring dari Terengganu Marvels yang mempunyai ketinggian 198cm dan meletakkan dirinya sebagai pemain terbaik dalam pertemuan antara Perak Pheonix dan Terengganu Marvels.
Dua pasukan baharu dalam NSL 2023, Terengganu Marvels dan Putrajaya Dynamites telah membuktikan bahawa mereka bersedia untuk memberi saingan kepada pasukan-pasukan lain dalam edisi kali ini.
Terengganu Marvel memulakan aksi pertama dengan gagah apabila berjaya menewaskan Negeri Sembilan Venom di bawah bimbingan Siti Nor Farhana Mustafa bersama dua pemain import daripada Thailand, Arirak Ampharat dan Sirima Samnaree.
Noramira Dayana yang telah pulih daripada kecederaan kini beraksi bersama Terengganu Marvels dan dipilih sebagai pemain terbaik semasa menentang Negeri Sembilan Venom. Pasukan Pantai Timur ini telah tewas bertemu dengan Perak Pheonix pada pertemuan kedua.
Puah Pei San, jurulatih Putrajaya Dynamites diberi kepercayaan sebagai perancang strategi taktikal dan teknikal bersama atlet berpengalaman dalam NSL edisi lepas yang telah mendapat kemenangan pertama menentang Negeri Sembilan Venom.
Ketua pasukan Putrajaya Dynamites, Nurshamilia Md Samsudin berjaya muncul sebagai pemain terbaik semasa menentang Negeri Sembilan Venoms.
Pada awalnya Putrajaya Dynamite mendahului permainan, namun gagal memungut sebarang mata ketika menentang KL Wildcats pada saat terakhir dengan perbezaan 1 gol sahaja.
Selangor Angels yang menggabungkan atlet muda dan berpengalaman telah berjaya menentang Pahang Tulips dengan perbezaan hanya lima gol pada suku terakhir.
Nur Ezzaini Mohd Nor merupakan antara atlet Selangor Angels yang berpengalaman berjaya mendapat gelaran pemain terbaik semasa perlawanan menentang Pahang Tulips.
Walaupun Pahang Tulips dan Negeri Sembilan Venoms belum mendapat sebarang mata kemenangan, namun saya pasti pasukan ini akan menunjukkan mutu permainan terbaik pada minggu-minggu yang akan datang dan menghasilkan mata kemenangan buat pasukan masing-masing.
NSL 2023 akan memberikan lebih banyak kejutan pada minggu-minggu yang akan datang.
Ayuh! Saksikan bersama NSL 2023 yang akan memberikan kelainan dengan aksi-aksi yang luar biasa dan pengalaman permainan bertaraf dunia yang tidak akan diperoleh dari mana-mana kejohanan tempatan.
* Husna Hussin Ali, Pengulas NSL 2023 & Bekas Atlet Kebangsaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!