Panggung Rakyat bawakan persembahan kesenian Malaysia

Persembahan Bhangra di Panggung Rakyat di Jalan Raja pada Sabtu lalu.
Persembahan Bhangra di Panggung Rakyat di Jalan Raja pada Sabtu lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Panggung Rakyat di Dataran Merdeka menjadi antara tarikan warga kota dan keluarga berhibur pada malam minggu.

Bertemakan kesenian, Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membawakan persembahan tradisional masyarakat Malaysia daripada pelbagai kaum dan negeri.

Aktiviti itu diadakan pada Sabtu minggu ketiga setiap bulan yang bermula jam 8.30 malam di kawasan lapang di Jalan Raja.

Ia bermula sejak Ogos lalu dan antara persembahan yang dipertontonkan adalah tarian Portugis, makyong, ronggeng dan kuda kepang.

Pada Sabtu lalu, Cendana membawakan tarian Bhangra dari kebudayaan masyarakat Punjabi dan Singh.

Orang awam yang menyaksikan persembahan Bhangra di Panggung Rakyat di Jalan Raja pada Sabtu lalu.
Orang awam yang menyaksikan persembahan Bhangra di Panggung Rakyat di Jalan Raja pada Sabtu lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Cendana, Izan Satrina Mohd Sallehuddin berkata, perancangan membawakan seni budaya orang lama itu dirancang sejak akhir Disember tahun lepas dan berjaya dipersembahkan selepas lapan bulan.

“Cendana dah usahakan projek ini sejak akhir tahun 2018 namun mengambil sedikit masa untuk menjayakan program ini. Projek ini dijangka diteruskan hingga Disember 2020.

Artikel Berkaitan:

“Tahun depan kami mengajak rakyat Malaysia untuk menyumbang idea persembahan-persembahan yang mahu diketengahkan mungkin ada di antaranya yang dah lama tak nampak dan mahu dihidupkan semula. Idea boleh dikongsi dengan #panggungrakyat dan kita akan tengok kesesuaiannya, “ katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Katanya, Panggung Rakyat menerima reaksi positif daripada masyarakat dan berhasrat untuk memperbanyak kerjasama dengan pihak luar dalam menghidupkan lagi seni budaya tempatan.

“Panggung rakyat ini membawakan tradisi lama. Ia bertujuan menghebahkan seni budaya kepada orang ramai untuk kita kenal dan ia tidak dilupakan.

“Dengan adanya platform seperti ini lebih mudah menarik penonton,” katanya.

Cendana adalah sebuah agensi yang ditubuhkan melalui MyCreative Ventures Sdn Bhd di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan dan aktiviti laporan diserahkan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia.