Banyak kerja rumah buat Pan-gon
KEKALAHAN Malaysia kepada Tajikistan dalam aksi final Pestabola Merdeka 2023 di Bukit Jalil Selasa lalu mendedahkan kelemahan yang perlu dibaiki sekali gus menuntut kerja rumah yang banyak menanti jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon.
Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, banyak kelompong yang berlaku selain masa kian suntuk buat skuad kebangsaan, namun para pemain perlu segera bangkit.
Beliau berkata, kelemahan di barisan pertahanan menuntut penilaian semula prestasi pemain sedia ada dan penggantian sewajarnya perlu dilakukan.
“Secara keseluruhan benteng pertahanan lost. Bukan sahaja ketika bertemu Tajikistan tetapi ketika aksi menentang India. Cuma bernasib baik kita menghasilkan gol, namun dalam aksi final tiada jaringan.
“Begitu juga bahagian tengah, tak banyak sumbang bola ke depan (penyerang). Banyak hilang bola membuatkan kita cepat letih dan kemudian hilang fokus.
“Malah taktikal kita pasukan lawan sudah bola baca. Kena ubah dan pelbagaikan. Jentera serangan juga perlu lebih tajam, banyak percubaan, tapi tersasar," katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil itu menyaksikan kemenangan 2-0 Tajikistan untuk merangkul kejuaraan sulung Pestabola Merdeka dan menafikan peluang Malaysia daripada meraih gelaran ke-13.
Kekalahan itu juga menamatkan rekod tanpa kalah Malaysia yang melakar lima kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir sejak tewas kepada Thailand 0-3 pada separuh akhir kedua Piala AFF 2022 Januari lalu.
Jamal berkata, skuad Harimau Malaya bakal berdepan tugas mencabar pada kempen pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 bulan depan, sebelum beraksi pada Piala Asia 2023 di Qatar, Januari tahun depan.
Justeru tambahnya, tempoh yang berbaki kira-kira sebulan bukan masa untuk membuat eksperimen, sebaliknya memanggil semula pemain yang pernah beraksi dengan Pan-gon kerana mereka sudah memahami taktikal yang diterapkan oleh jurulatih.
“Bukan masa untuk try and error. Sepatutnya ini masa untuk kita perform. Pengguguran pemain perlu berlaku dan ia perkara biasa dalam bola sepak. Pemain perlu terima demi kebaikan pasukan.
“Jangan bawa yang baharu, tapi panggil semula pemain yang pernah dilatih Pan-gon sebelum ini kerana mereka sudah tahu sistem jurulatih dari Korea Selatan itu," ujar Jamal.
Dalam saingan pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 Malaysia akan menentang Republik Kyrgyz pada 16 November dan Taiwan (21 November).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!