Barcelona, Rolling Stones jalin kerjasama pintar
GERGASI La Liga Sepanyol, Barcelona dan kumpulan legenda rock n roll 1962, Rolling Stones bergabung dan kit pasukan itu akan menampilkan logo lidah dan bibir terkenal kumpulan tersebut untuk perlawanan El Clasico menentang Real Madrid di Estadi Olimpic Lluis Companys minggu depan, umum kelab berkenaan pada Jumaat.
Perkhidmatan penstriman muzik Spotify telah menaja Barcelona sejak musim 2021/22, dan kelab itu sebelum ini pernah mengadakan kempen menampilkan Drake dan penyanyi Sepanyol, Rosalia, dan terkini giliran peminat rock boleh mendapat kepuasan.
"FC Barcelona dan Spotify telah melakukannya sekali lagi. Jersi yang akan dipakai Barca pada El Clasico pada 28 Oktober ini sekali lagi akan menjadi ikon yang akan menarik perhatian seluruh dunia.
"Logo Tongue and Lips The Rolling Stones (Mick Jagger, Keith Richards dan Ronnie Wood) akan menggantikan logo Spotify pada kit legenda FC Barcelona," kata kelab itu.
Album terbaru The Rolling Stones, Hackney Diamonds, dikeluarkan pada Jumaat, dan jersi itu akan tersedia untuk dibeli mulai 23 Oktober.
Pasukan wanita Barca juga akan memakai baju itu untuk perlawanan mereka menentang Sevilla pada 5 November.
"Kami peminat besar bola sepak dan kami berbesar hati kerana Spotify meletakkan logo Tongue & Lips kami pada jersi FC Barcelona untuk meraikan pelancaran album baharu Stones 'Hackney Diamonds'.
"Kami akan bersorak untuk pemain-pemain di padang serta peminat di seluruh dunia yang akan menonton perlawanan ikonik ini," kata Rolling Stones.
Bagi mereka yang tidak dapat membeli baju edisi terhad, peminat juga boleh membeli pakej album edisi terhad yang menampilkan album vinil dengan lambang Barca dan jersi retro.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!