Terengganu Marvels tekad tampil lebih 'garang'
TERENGGANU Marvels tekad tampil lebih bertenaga menjelang saingan minggu kedua Liga Super Bola Jaring (NSL) 2023 bermula pada Jumaat hingga Ahad.
Pendatang baharu NSL itu mempamerkan rentak positif apabila menang satu daripada dua perlawanan minggu lalu apabila membenam Negeri Sembilan Venom 63-26, namun terpaksa akur tewas 42-47 kepada Perak Phoenix.
Pengurusnya, Wan Sarimah Wan Razak optimis anak-anak buahnya akan hadir dengan semangat baharu untuk memburu kemenangan seterusnya dalam aksi menentang Pahang Tulips pada Jumaat.
Malah perlawanan menentang satu lagi pasukan baharu, Putrajaya Dynamites pada Sabtu juga menarik untuk diperkatakan.
“Aksi yang menarik. Para pemain kian bersemangat, mereka tekad buat yang terbaik untuk memburu kemenangan.
“Sebagai pasukan baharu dalam NSL kita ada sasaran iaitu untuk berada dalam kelompok empat pasukan terbaik,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Setelah mengharungi dua perlawanan Marvels mengutip tiga mata untuk menghuni tangga keempat carta NSL di belakang Phoenix yang mengumpul enam mata hasil dua kemenangan daripada tiga perlawanan.
“Cuti rehat beberapa hari selepas saingan minggu pertama memberi peluang kepada pasukan membaiki segala kelemahan di semua posisi termasuk center.
“Setelah berbincang dengan jurulatih, kita mahu membentuk pergerakan bertahan dan menyerang lebih teratur serta tersusun,” ujar Wan Sarimah.
Mengulas prestasi para pemain termasuk dua pemain import dari Thailand, Arirak Ampharat yang bertindak sebagai goal shooter (GS) dan Sirima Samnaree selaku goal attack (GA), beliau mengakui berpuas hati namun, namun masih ada ruang untuk diperbaiki.
“Kita mahu membentuk keserasian yang lebih mantap dalam kalangan pemain dan ia berjalan dari semasa ke semasa. Secara keseluruhan kita berpuas hati dan percaya mereka akan lebih baik lagi selepas ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!