Lintasan Rafah dijangka tidak dibuka hari ini, lapor CNN
GAZA - Pintu lintasan Rafah tidak akan dibuka pada Jumaat untuk konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza, kata beberapa sumber kepada CNN, ketika sebilangan besar pihak termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengharapkan proses itu segera berlaku.
"Saya tidak harap truk-truk itu akan melintasi sempadan hari ini (Jumaat)," kata sumber yang terlibat dalam perbincangan tersebut kepada CNN.
Kerja-kerja membaiki jalan perlu dilakukan di zon kawalan sempadan Mesir dan Palestin selain terdapat banyak butiran lain yang perlu diperhalusi untuk memastikan bantuan itu berterusan, bukan sekadar sekali kemasukan sahaja, kata sumber tersebut. Ini adalah "situasi yang sangat tidak stabil," kata sumber itu lagi.
"Mangsa di Gaza telah menunggu makanan, ubat dan air. Jika mereka diberitahu 20 truk akan datang dan kami tidak tahu bila (truk seterusnya) akan datang, ia hanya akan mengundang situasi yang sangat berbahaya.
“Jika saya berada dalam situasi itu, jika saya tidak fikir akan ada lagi truk, saya akan melakukan apa sahaja yang boleh untuk mendapatkan apa yang ada di dalam."
Pegawai-pegawai AS pada ketika ini menjangkakan bahawa konvoi pertama truk yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza dari Mesir hanya akan melintasi sempadan pada hujung minggu ini, berkemungkinan pada hari Sabtu.
Bahkan, seorang pegawai AS memberi amaran bahawa situasi ini masih belum stabil kerana persediaan terus berjalan untuk membenarkan bantuan kemanusiaan itu masuk.
Jurucakap Jabatan Negeri AS, Matt Miller berkata, dalam taklimat pada hari Khamis petang bahawa bekas Duta Besar David Satterfield yang juga Utusan Khas AS untuk bantuan kemanusiaan Timur Tengah berada di lapangan dalam rundingan dengan pihak Israel dan sedang menguruskan butiran "sewaktu kita berbual."
"Dalam hal truk, saya tidak mahu membicarakan bentuk perjanjian yang tepat kerana itu adalah perkara yang terus dirundingkan dan Duta Besar Satterfield berada di lapangan merundingkannya," kata Miller.
Perjanjian ini adalah untuk 20 truk, tetapi terdapat 200 truk lain yang telah berada di luar sempadan, justeru bantuan boleh diteruskan jika terdapat perjanjian.
Israel akan ingin terlibat dalam mekanisme kawalan, kata sumber itu, untuk memastikan mereka meluluskan apa yang akan dimasukkan.
"Situasi boleh berubah dengan cepat, baik ke arah yang lebih baik mahupun yang lebih buruk," kata mereka.
Miller pada Khamis mengulangi kebimbangan yang diutarakan oleh kerajaan Israel bahawa Hamas akan cuba mengalihkan bantuan untuk Gaza adalah "kebimbangan yang sah."
Berbual dengan wartawan semasa penerbangan pulang ke AA dari Israel pada hari Rabu, Biden berkata, Presiden Mesir, Abdel Fattah Al-Sisi, bersetuju untuk membuka pintu perlintasan Rafah untuk "membenarkan sehingga 20 truk sebagai permulaan."
Jalan ke Gaza perlu diperbaiki dan lubang-lubang perlu diisi sebelum truk-truk itu boleh lalu.
Beliau berkata, kerja-kerja itu pula akan mengambil masa kira-kira lapan jam pada hari Khamis untuk dilakukan dan beliau mengjangkakan truk-truk itu akan bergerak pada hari Jumaat.
Pada hari Khamis, media dan pegawai keselamatan Mesir juga memberi isyarat pintu lintasan itu akan dibuka pada hari Jumaat. - CNN-Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!