[VIDEO] The Guardian pecat kartunis senior kerana karikatur Netanyahu
LONDON - Akhbar Britain, The Guardian memecat kartunis senior, Steve Bell kerana melukis karikatur Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sedang memegang pisau bedah.
Menurut pengkritik, imej Netanyahu itu dianggap stereotaip anti-Yahudi dan anti-Semitik.
The Guardian yang telah menerbitkan ribuan karikatur satira pemimpin dunia dilapor enggan menyiarkan karikatur Netanyahu tersebut.
"Keputusan telah dibuat untuk tidak memperbaharui kontrak Steve Bell.
"Kartun Steve Bell telah menjadi bahagian penting dalam Guardian sejak 40 tahun lalu," menurut penerbit Guardian News and Media dalam satu kenyataan.
Bell telah menyumbang karyanya kepada The Guardian sejak 1983 dan beberapa daripada ratusan kartunnya selama ini dituduh memasukkan stereotaip anti-Yahudi.
Kartun terbaharu disiarkan Bell di media sosial memaparkan Netanyahu memegang pisau bedah dan bersiap sedia memotong hirisan berbentuk peta Gaza di perutnya dengan kapsyen "Penduduk Gaza, keluar sekarang".
Sementara itu, Bell dalam reaksinya berkata: "Saya tidak mempromosikan stereotaip anti-Semitik yang berbahaya."
Britain mempunyai tradisi penyiaran kartun atau karikatur yang menunjukkan ahli politik dalam bentuk keterlaluan dan aneh.
Bell sendiri pernah melukis imej beberapa bekas perdana menteri antaranya John Major memakai seluar dalam, David Cameron menyarungkan kondom bersaiz gergasi di kepalanya dan Tony Blair dengan mata besar yang jahat. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!