Ringgit dalam urusan dagangan jamin kedudukan mata wang, perkukuh ekonomi
KUALA LUMPUR - Malaysia perlu menggunakan ringgit dalam aktiviti perdagangan bagi memastikan kedudukan nilai mata wang tempatan itu serta dan ekonomi negara terus kukuh di peringkat global, kata Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Malah, katanya, penggunaan ringgit secara meluas juga mampu mengawal kejatuhan nilainya akibat faktor luaran khususnya berkaitan kebergantungan terhadap dolar Amerika Syarikat (AS).
"Ini langkah ke hadapan yang besar di masa depan dan ringgit tidak akan terikat dengan jatuh naik kadar dolar AS (dan) sepertimana diperkatakan bahawa tahap ekonomi bergantung kepada kadar ringgit berbanding dolar AS.
"(Tanggapan) itu tidak betul keseluruhannya. Tahap ekonomi kita bergantung kepada turun naik pertumbuhan ekonomi, kadar pengganguran, unjuran defisit atau tahap inflasi,” katanya kepada Bernama pada Khamis.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, kerajaan merancang menggunakan pendekatan dedolarisasi bagi menggalakkan perdagangan antara negara lain dengan menggunakan mata wang ringgit.
Dalam pada itu, dalam temu bual program Ruang Bicara bertajuk 'Belanjawan 2024: Reformasi Ekonomi Madani' di BernamaTV malam tadi, Ahmad berkata, kerajaan berhasrat melaksanakan industri penggantian import dalam mengurangkan kebergantungan kepada import bahan makanan.
Beliau berkata, Malaysia perlu memperbanyakkan penggunaan barangan tempatan bagi memastikan kestabilan nilai ringgit yang kini berada di paras 4.76 berbanding dolar AS.
"Apabila ringgit berada pada tahap membimbangkan iaitu (di paras) 4.70 berbanding dolar AS, kerajaan ingin melakukan penggantian import yang diharap kita membeli barangan tempatan dengan lebih kerap serta banyak.
"Ini kerana apabila nilai ringgit berbanding dolar AS merosot, kita perlu perbanyakkan penggunaan barangan tempatan seperti membeli barangan tempatan, keluarkan lebih banyak hasil tempatan, mengalakkan rakyat melancong dalam negara serta pelancong asing ke Malaysia dalam usaha memperkukuh nilai ringgit,” katanya.
Pada sesi akhir urus niaga ringgit semalam, unit tempatan itu meneruskan trend menurun kepada 4.7680/7710 berbanding dolar AS. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!