600 pesilat berkumpul Ahad ini

Hasnul Fairuz
Hasnul Fairuz
A
A
A

IPOH - Seramai 600 pesilat berkumpul sempena Himpunan Anak-Anak Gayong Serantau dan Se-Malaysia di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak pada Ahad ini.

Yang Dipertua Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia Cawangan Perak, Hasnul Fairuz Hushin Amri berkata, penganjuran himpunan kali kedua itu menampilkan demonstrasi keterampilan, pameran seni serta ujian pemantapan silibus pesilat cilik.

Menurutnya, selain dapat menyerlahkan bakat dan potensi pesilat, acara itu secara tidak langsung mengangkat silat sebagai wadah penyatuan dan perpaduan.

"Ini adalah inisiatif kita untuk terus memelihara dan mengembangkan warisan budaya dan tradisi seni bela diri di Malaysia.

"Apatah lagi turut melibatkan generasi muda dalam pengembangan keterampilan dan nilai-nilai yang terkandung dalam seni bela diri," katanya kepada Sinar Harian.

Program berkenaan dijadualkan dirasmikan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Program akan turut diserikan dengan kehadiran Waris Amanah Mahaguru Silat Seni Gayong, Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain dan Sazali Meor Abd Rahman.

Hasnul Fairuz berkata, sehingga kini, Perak di bawah seliaan Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia mempunyai lebih 20 gelanggang dengan 1,000 pesilat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sokongan pelbagai agensi banyak membantu terhadap usaha pertubuhan dalam meneruskan agenda memartabatjan seni silat di negeri ini.

"Galakan membuka gelanggang silat di sekolah dan di tempat awam perlu terus diberi sokongan bagi memastikan budaya serta warisan dapat diteruskan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!