Hadiah RM500 menanti pelajar cemerlang SPM, STPM
AMPANG - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Teratai menawarkan ganjaran RM500 kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2022.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Yew Jia Haur berkata, hadiah tersebut sebagai suntikan semangat di atas ketekunan mereka menimba ilmu hingga berjaya mengharungi peperiksaan dan memperoleh keputusan membanggakan.
Menurutnya, hadiah tersebut sepatutnya diserahkan pada Ogos lalu namun ditunda ke Oktober susulan kekangan masa.
"Apa pun, saya mengagumi ketekunan dan kegigihan calon-calon SPM dan STPM mengharungi peperiksaan kali ini.
"Kekuatan luar biasa ini dengan mudahnya akan membantu kalian membina masa depan yang lebih cemerlang.
"Bagi mereka yang mendapat keputusan yang kurang memberangsangkan, tidak mengapa. Perjalanan kalian masih jauh dan banyak yang cara yang boleh diikhtiarkan untuk berjaya di dalam hidup," katanya pada Jumaat.
Katanya, mereka yang memperoleh keputusan semua A dalam SPM dan memperoleh CGPA lebih dari 3.5. layak untuk menuntut hadiah tersebut.
"Pemberian ini khusus untuk semua calon-calon SPM dan STPM 2022 yang menetap di Teratai atau bersekolah di Sekolah Menengah di DUN Teratai.
"Untuk pengetahuan semua, antara sekolah-sekolah yang berada di dalam kawasan DUN Teratai adalah SMK Taman Seraya, SMK Pandan Mewah, SMK Pandan Indah, dan SMK Tasik Permai," katanya.
Katanya, permohonan boleh dibuat menerusi emel dilampirkan bersama salinan keputusan SPM atau STPM serta salinan kad pengenalan dan juga butiran pelajar ke teratai@yewjiahaur.org.
Ujarnya, permohonan tersebut dibuka sehingga 31 Oktober 2023 ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!