Pas mesti kekang naratif Islamofobia ‘Gelombang Hijau’
SHAH ALAM - Pas mesti mengekang naratif Islamofobia yang menggunakan jenama ‘Gelombang Hijau’ untuk menakutkan masyarakat bukan Islam dan pihak tertentu terhadap prestasi parti yang berjaya mencapai kerusi terbanyak di samping berjaya mentadbir beberapa kerajaan negeri.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, partinya berpegang kepada konsep tiada paksaan dalam beragama walaupun Islam berkuasa sepenuhnya.
“Pas menerima kerjasama dan persefahaman dengan masyarakat bukan Islam yang tidak bersifat ekstrem.
“Pas juga tidak melarang dan membuka jalan kepada mereka untuk mengkaji ilmu Islam, membaca al-Quran dan ilmunya dengan panduan dan kawalan, cumanya al-Quran tidak boleh diterjemahkan dan ditafsirkan sewenang-wenangnya tanpa ilmu yang berkait dengannya, sama ada penganut Islam ataupun bukan Islam yang mengkaji al-Quran. Semuanya diwajibkan mengikuti ilmu dan disiplinnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden dalam Muktamar Tahunan Pas Kali ke-69 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada Jumaat.
Ujar Ahli Parlimen Marang itu, Islam yang menjadi dasar perjuangan Pas telah memberi jaminan keadilan, keamanan dan kesejahteraan hidup untuk semua kaum dan agama di negara ini.
Menurut beliau, Pas melalui pemerintahan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis sudah berjaya membuktikan bahawa kebebasan beragama kepada penganut agama lain tidak dihalang, rumah-rumah ibadat tidak dirobohkan dan kegiatan ekonomi tidak disekat, sehingga orang bukan Islam hidup aman dan sejahtera di bawah pentadbiran Pas dengan diberikan hak kebebasan beragama dan bermasyarakat.
“Namun, kejayaan Pas bersama Perikatan Nasional (PN) mentadbir negeri dianggap negatif kerana Pas beristiqamah berpegang kepada Islam, walaupun Pas berjaya menjadi sebuah parti yang paling berintegriti tanpa rasuah dan penyelewengan mahupun perebutan jawatan dalam pentadbirannya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abdul Hadi turut menggesa konsep adil dilaksanakan di semua negeri di bawah pentadbiran PN, mengikut bidang kuasa di samping memohon keampunan daripada ALLAH SWT.
Jelasnya, Pas meletakkan asas yang kukuh bagi menegakkan keadilan apabila mewajibkan setiap calon yang bertanding diluluskan oleh Majlis Syura Ulamak kerana menegakkan keadilan dalam Islam adalah amanah paling besar.
“Pengalaman berdepan dengan kerajaan pusat yang berkonsepkan kleptokrasi dan kakistokrasi yang berlagak dengan kuasa yang dimiliki, tetapi tidak tahu mengurus dengan adil, seharusnya menjadi pengajaran kepada kita.
“Kerajaan pada hari ini juga bersifat ‘double standard’ sehingga melanggar prinsip demokrasi dan Islam yang masih dikepung dan dipenjara semata-mata kerana ingin meneruskan agenda penjajah.
“Bukan itu sahaja, kerajaan ini melanggar prinsip perlembagaan sehingga merempuh konsep federalisme dan perjanjian yang telah dimeteraikan, serta melanggar sumpah yang diikrarkan,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!