Kenderaan haram angkut pelajar sekolah makin berleluasa - BSM

Situasi sebuah bas berdaftar dengan kenderaan persendirian yang mengambil pelajar.
Situasi sebuah bas berdaftar dengan kenderaan persendirian yang mengambil pelajar.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Kebajikan Industri Bas Sekolah Malaysia (BSM) meluahkan rasa kecewa apabila van sekolah haram dibiarkan terus berleluasa tanpa dibanteras dengan penguatkuasaan yang tegas.

Presidennya, Mohamad Haron Mohamad Sidik berkata, negara sudah 66 tahun merdeka sementara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah disediakan peralatan serba canggih manakala Menteri Pengangkutan silih berganti namun dilihat masih gagal membanteras 'lanun' kenderaan haram tersebut.

Menurutnya, pengusaha bas berdaftar ditekan dengan pelbagai peraturan dan syarat namun aktiviti van sekolah haram terus bebas menjalankan aktiviti tanpa memikirkan implikasi terhadap keselamatan pelajar yang menggunakan perkhidmatan tersebut.

"Macam susah sangat hendak menghancurkan kegiatan mereka ini. Kewujudan mereka mengganggu punca pendapatan BSM kerana tambang murah dan mereka boleh buat apa sahaja tanpa rasa takut.

"Sebaliknya yang takut adalah pengusaha bas sekolah berdaftar kerana perlu patuhi semua peraturan dan syarat kerajaan. Ini adalah pengalaman kami dan terus terang rasa amat kecewa dengan JPJ," katanya menerusi kenyataan.

Katanya, terdapat kenderaan haram dikesan tiada cukai jalan dan insurans perlindungan selain tiada lesen PSV sewaktu pemeriksaan oleh JPJ dalam satu operasi di Bandar Kinrara Puchong baru-baru ini.

Antara kenderaan yang digunakan untuk mengambil pelajar.
Antara kenderaan yang digunakan untuk mengambil pelajar.

"JPJ berjaya menyaman mereka tetapi selang beberapa hari kenderaan ini muncul semula dengan gahnya.

Artikel Berkaitan:

"Saman mereka mampu dibayar kerana kutipan dan keuntungan mereka melebihi seratus peratus. Kenapa kenderaan ini tidak disita atau pelaku dipenjarakan," soalnya.

Tambahnya, tiada tindakan tegas terhadap pelaku seolah memperjudikan nyawa pelajar yang merupakan permata negara.

"Mereka bukan bawa kotak tetapi nyawa anak-anak kita yang masih mentah dan masih tidak kenal erti kehidupan.

"Anak-anak disumbat hingga sesak sampai muka melekat pada cermin tingkap kenderaan. Sementara kenderaan bas sekolah perlu patuh jumlah penumpang yang dibenarkan. Anak-anak ini boleh mati katak", katanya.

Katanya, aduan berserta maklumat lengkap seperti video, gambar, nombor kenderaan, lokasi dan tarikh kejadian telah dihantar supaya tindakan diambil namun ia ibarat mencurah air ke daun keladi.

"JPJ tidak mahu dengar nasihat persatuan. Letih dan putus asa. Sekarang pemilik kenderaan haram ini ketawa dan mengejek kami pula. Mereka umpama samseng dan ugut kami.

"Disebabkan itu, kami akan membuat satu himpunan aman bersama dengan pemain industri untuk mendesak JPJ dan polis melaksanakan tugasan mereka dengan penuh jujur, ikhlas dan amanah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!