Tiada kenaikan harga ayam di Melaka - KPDN
MELAKA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Melaka menafikan berlakunya kenaikan harga ayam di negeri ini.
Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, bekalan ayam dan juga pergerakan harga ayam di pasaran Melaka adalah terkawal dan masih mengikut harga kawalan yang ditetapkan kerajaan.
"Semalam tular satu laporan akhbar menyatakan harga ayam di Melaka naik 70 sen dan ia adalah tidak benar.
"Hasil pemantauan berterusan Pegawai Pemantau Harga (PPH) dan juga pemeriksaan harian oleh Penguatkuasa KPDN Melaka di seluruh negeri Melaka mendapati rata-rata peniaga masih mengekalkan jualan harga ayam di bawah harga kawalan iaitu RM9.40, malah ada juga premis menjual ayam serendah RM7.99 sekilogram," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Norena berkata, masih terdapat segelintir peniaga yang mengenakan caj pemotongan ayam antara 30 sen hingga RM1 bagi sekilogram, namun ia adalah pilihan kepada pengguna atas perkhidmatan yang ditawarkan.
Sementara itu, katanya, sebanyak 24,543 premis perniagaan diperiksa setakat semalam dengan meliputi semua lapisan perniagaan iaitu peruncit, pemborong dan pengilang serta peladang.
"Sebanyak 296 kes telah direkodkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM1,619,571.85 yang terdiri dari semua akta undang-undang yang dikuatkuasakan kementerian ini.
"Kompaun bernilai RM54,200 turut dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan dan setakat ini tiada aduan rasmi berkaitan harga ayam diterima oleh pihak KPDN Melaka," katanya.
Justeru, beliau menasihatkan semua pihak mendapatkan maklumat sahih sebelum menyebarkan kepada umum bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Para peniaga pula diingatkan agar mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan bagi memastikan kelestarian perdagangan di negeri ini, katanya.
"Pengguna juga diminta melaporkan kepada KPDN atas sebarang salah laku dan aduan berkaitan perdagangan dan isu kepenggunaan menerusi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDN Negeri Melaka di talian 06-2345869 yang beroperasi setiap hari seawal 9.00 pagi hingga 6.00 petang di samping saluran aduan melalui aplikasi Whatsapp iaitu 019 - 279 4317,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!