DOSM sasar semua aktiviti pertanian terlibat dalam Bancian 2024

Nor Azmie (tengah) meletakkan tangan pada portal Banci Pertanian 2024 sebagai gimik perasmian semasa Majlis Perasmian Sambutan Hari Statistik Negara (HSN) di Stadium Sungai Besar di sini pada Jumaat.- FOTO: ROSLI TALIB/SINAR HARIAN
Nor Azmie (tengah) meletakkan tangan pada portal Banci Pertanian 2024 sebagai gimik perasmian semasa Majlis Perasmian Sambutan Hari Statistik Negara (HSN) di Stadium Sungai Besar di sini pada Jumaat.- FOTO: ROSLI TALIB/SINAR HARIAN
A
A
A

SABAK BERNAM - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyasarkan semua aktiviti pertanian di seluruh negara terlibat dalam Banci Pertanian 2024 (BP 2024) yang akan dilaksanakan pada tahun depan.

Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron berkata, semua negeri terlibat dalam BP 2024 yang dijalankan terhadap isi rumah dan pertubuhan terbabit dalam aktiviti pertanian.

Menurutnya, DOSM akan memastikan semua pihak yang terbabit dalam aktiviti pertanian dikumpul data mereka dengan lebih tepat dan berasas.

"Kerja-kerja persediaan sudah pun bermula sejak tahun ini lagi dan kita harap seluruh negara bekerjasama dengan DOSM.

"Pengumpulan maklumat ini penting bagi membolehkan data dan statistik berkaitan pertanian ini dapat memberikan gambaran terbaik dalam membantu membangunkan lagi pertanian di negara ini," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Statistik Negara (HSN) di Stadium Sungai Besar di sini pada Jumaat.

Nor Azmie berkata, Kementerian Ekonomi memberikan perhatian serius terhadap pengumpulan data di samping memberi keutamaan membabitkan sektor pertanian dan keterjaminan makanan di negara ini.

Jelas beliau, kementerian itu juga bertanggungjawab dalam hal merancang dasar dan polisi di peringkat negara.

Mengulas mengenai BP 2024 juga mungkin diselaraskan dengan pangkalan data utama (PADU)," Nor Azmie memberitahu, BP 2024 sudah diumumkan dan bermula pada tahun depan.

Artikel Berkaitan:

"Apakah ia akan disekalikan atau pun tidak dengan PADU belum dipastikan dan usaha kedua-duanya ketika ini sedang bergerak (dilaksanakan)," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!