Pemandu lori tak mengaku rogol anak tiri
BUTTERWORTH - Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan merogol anak tirinya lima tahun lalu di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.
Tertuduh berusia 29 tahun yang tidak diwakili peguam membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim, Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut pada jam 9 pagi tahun 2019 ketika mangsa berusia 11 tahun manakala bagi pertuduhan kedua, jam 11 malam pada tahun 2018.
Kedua-dua kejadian tersebut didakwa berlaku di sebuah rumah di Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta tidak kurang daripada 10 sebatan.
Dalam prosiding mahkamah, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak tidak menawarkan sebarang jaminan.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh membuat rayuan agar diberi jaminan yang minimum berikutan dia mempunyai tanggungan keluarga.
"Gaji saya sebagai pemandu lori hanya RM2,190 sebulan dan mempunyai lima tanggungan termasuk tiga anak berusia antara lima bulan hingga tiga tahun.
"Saya mohon mahkamah memberi jaminan yang minimum kepada saya," katanya.
Zulhazmi kemudiannya membenarkan tertuduh diberi jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.
Selain itu, tertuduh juga dikenakan syarat tambahan iaitu dilarang mendekati dan mengganggu saksi serta mangsa sepanjang kes itu dijalankan.
Tertuduh turut diperintahkan tinggal berasingan dengan mangsa sepanjang kes tersebut dibicarakan.
Kes ditangguhkan sehingga 21 November ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!