Pas nafi singgung perasaan masyarakat bukan Islam punca hilang sokongan
SHAH ALAM - Pas menafikan kenyataan menyinggung perasaan kepada masyarakat bukan Islam punca parti tersebut tidak mendapat sokongan daripada golongan tersebut dalam pilihan raya lalu.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kenyataan itu sebaliknya ditujukan kepada DAP yang ekstrem terhadap Islam.
“Banyak kenyataan kita keluarkan itu, disalahtafsirkan media dan dalam ucapan yang saya sebut tadi hubungan dengan bukan Islam tidak menjadi masalah.
“Kalau orang bukan Islam boleh menerima ideologi-ideologi barat, bukan Cina, India. Mengapa tidak boleh terima Islam dari satu ideologi? Yang lahir di tengah masyakat mereka.
“Yang telah mencipta sejarah memerintah negara yang sangat besar, orang Islam boleh hidup. Pemerintahan Islam boleh melibatkan orang bukan Islam dalam kabinet,” katanya dalam sidang media Muktamar Tahunan Pas Kali ke-69 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan mengeluarkan kenyataan menyinggung perasaan orang bukan Islam yang dikatakan menjadi punca sokongan golongan tersebut terhadap Pas berkurang.
Dalam pada itu, menurut Ahli Parlimen Marang itu, alasan Pas tidak mendapat sokongan yang tinggi dalam kalangan pengundi bukan Islam adalah berikutan kegagalan dalam penyampaian maklumat serta gangguan dakyah-dakyah negatif terhadap Islam.
“Kita Islam bila melantik orang bukan Islam dalam kabinet, dalam tugas berkait eksekutif dan bukan legislatif. Ini agak terbuka yang ada dalam Islam.
“Kita cuba perkenalkan tetapi maklumat itu tidak sampai. Oleh kerana DAP terlalu melampau dalam serangan dia terhadap kita menggunakan dakyah Islamofobia, kita terpaksalah memberikan jawapan-jawapan tak panjang dan kita tidak jumpa terus dengan orang bukan Islam, ini selalunya masalah.
“Kelantan kita sudah memerintah masuk 30 tahun, begitu juga Terengganu dan Kedah. Orang bukan Islam di Kelantan patutnya lebih tahu pemerintahan kita terhadap orang bukan Islam,” ujarnya.
Tambahnya, Pas sebelum ini juga pernah menganjurkan program berdialog bersama orang-orang bukan Islam.
“Kalau zaman UMNO dulu, kita nak buat (sesi) dialog tetapi tidak diberi kebenaran dilakukan di hotel-hotel.
“Pernah menghadapi masalah itu, nak buat dihotel tetapi disekat, dihalang dan dibatalkan sekatan,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!