'Runner' mengaku tidak bersalah tipu RM126,000 jual rumah lelong
BUTTERWORTH - Seorang 'runner' menghadapi enam pertuduhan menipu melibatkan kerugian RM126,000 di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.
Bagaimanapun, Nazrin Nasir Khan, 29, dari Mak Mandin mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya dan minta dibicarakan.
Tertuduh didakwa menipu beberapa individu berbeza di lokasi berlainan sekitar Butterworth antara 13 Februari hingga Ogos tahun ini.
Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa menipu beberapa individu dengan jumlah wang RM25,000 untuk pertuduhan pertama, RM20,000 bagi pertuduhan kedua, RM30,000 (ketiga), RM25,000 (keempat), RM6,000 (kelima) dan RM20,000 (keenam).
Tertuduh didakwa menipu dengan memperdaya mangsa untuk mempercayai bahawa tertuduh akan menolong mereka mendapatkan rumah lelong.
Tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong mangsa-mangsa memindahkan wang milik mereka ke dalam akaun miliknya dan mangsa tidak akan memindahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan oleh tertuduh.
Oleh demikian, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak lebih daripada 10 tahun serta sebat dan denda.
Pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin@Ghani.
Nurameera memohon wang jaminan RM48,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Tertuduh yang diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) bagaimanapun memohon wang jaminan dikurangkan kerana perlu menanggung ibu dan empat adiknya.
Siti Zulaikha kemudiannya memerintahkan tertuduh membayar wang jaminan RM26,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Kes ditangguh sehingga 20 Disember ini untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!