Pemandu F1 bengang denda naik empat kali ganda
TINDAKAN Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) meningkatkan jumlah denda sehingga empat kali ganda mencecah satu juta euro (RM5.05 juta) mengundang reaksi kurang senang dalam kalangan pelumba Formula Satu (F1) yang menganggapnya sebagai tidak masuk akal.
Perubahan kepada Kod Sukan Antarabangsa (ISC) itu diluluskan pada mesyuarat Majlis Sukan Permotoran Dunia FIA di Geneva.
Alasannya ialah denda maksimum 250,000 euro (RM1.26 juta) sebelum ini tidak disemak atau dipinda sejak 12 tahun lalu.
George Russell dari Mercedes yang juga pengarah Persatuan Pemandu Grand Prix (GPDA) menganggap denda maksimum itu tidak masuk akal.
"Pada tahun pertama di F1 (bersama Williams), saya mendapat gaji lima angka tetapi sebenarnya kehilangan lebih enam angka kerana perlu membayar jurulatih, penerbangan dan pembantu," katanya.
Daniel Ricciardo yang kembali beraksi selepas terlepas lima perlumbaan disebabkan kecederaan patah tangan pula berasakan keputusan itu 'menakutkan'.
Kevin Magnussen daripada pasukan Haas pula menyifatkan langkah itu sebagai tidak masuk akal.
Pelumba sensasi, Lewis Hamilton pula mahu wang bayaran denda itu disalurkan untuk perkara keperluan.
"Industri ini sudah mempunyai banyak wang dan banyak lagi yang perlu dilakukan bagi menambah baik akses serta mewujudkan lebih peluang kepada mereka yang tidak berkemampuan untuk menyertai sukan ini.
"Itulah satu-satunya cara untuk mereka mendapatkan wang daripada saya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!