LZS saran penerima bantuan sewa rumah kemas kini maklumat
SHAH ALAM - Penerima bantuan sewa rumah Lembaga Zakat Selangor (LZS) disaran kemas kini maklumat bagi proses penyambungan sewaan bagi tahun 2024.
LZS dalam satu kenyataan berkata, penerima berkenaan yang telah menerima sistem pesanan ringkas (SMS) dari LZS diminta segera untuk berbuat demikian sebelum 18 November ini.
Menurutnya, bantuan tersebut melibatkan lebih 17, 000 asnaf fakir, miskin dan mualaf berdaftar dengan LZS di Selangor.
"Asnaf terlibat akan menerima satu pautan melalui SMS dan perlu mengikuti langkah-langkah yang dinyatakan bagi mengemas kini maklumat pemilik rumah sewa, kadar sewaan semasa dan kaedah pembayaran sewaan.
"Sebagai panduan, asnaf boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) di portal rasmi melalui pautan https://sewa2024.carrd.co/ bagi mendapatkan maklumat lanjut," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Ujar kenyataan itu, sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan, boleh menghubungi talian 1300-88-4343 atau atau mengemukakan maklum balas di portal rasmi LZS maklumbalasaduan@zakatselangor.com.my,
Katanya, pertanyaan juga boleh dibuat secara terus dengan mengunjungi cawangan LZS berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!