Sorok bungkusan dadah dalam kaki meja
KUALA LUMPUR - Dua jurukimpal dipercayai menerima upah sekitar RM50,000 bagi melakukan kerja kimpalan pada beberapa kaki meja bagi menyembunyikan bekalan dadah seberat 208 kilogram.
Kegiatan itu dibongkar menerusi serbuan ke atas gudang dipercayai menjadi lokasi simpanan dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM6.9 juta di Shah Alam pada Khamis.
Kedua-dua suspek warga tempatan berumur 42 dan 50 tahun itu dipertanggungjawab untuk melakukan kerja kimpalan bagi mengisi kesemua dadah itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 12.30 tengah hari oleh sepasukan angggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Selangor.
"Risikan dijalankan selama sebulan mendapati gudang yang terletak di kawasan perindustrian Sri Muda itu dijadikan lokasi simpanan sementara dadah terbabit sebelum diedarkan.
"Serbuan dijalankan memberkas dua lelaki tempatan selain merampas 200 bungkusan dadah jenis syabu yang disorok dalam batang besi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.
Katanya, sindiket pengedaran dadah ini dikesan bergerak aktif sejak sebulan lalu di sekitar kawasan Lembah Klang.
"Modus operandi sindiket adalah dengan menyorok dadah di dalam batang besi yang diubah suai untuk dijadikan kaki meja.
"Setelah siap disorok, bekalan dadah ini dipercayai akan diambil oleh individu lain sebelum dihantar ke destinasi yang masih dalam siasatan," katanya.
Menurutnya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sumber dadah ini diperolehi.
"Kedua-dua suspek warga tempatan yang diberkas dipercayai menerima arahan daripada ketua sindiket yang masih bebas.
"Usaha kini dijalankan untuk memburu dalang pengedaran dadah ini dan beberapa suspek yang dipercayai terlibat," katanya.
Allaudeen berkata, selain dadah turut dirampas wang tunai, barangan kemas dan peralatan mengubah suai besi.
"Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah sekitar RM7 juta.
"Kedua-dua suspek yang tidak memiliki sebarang rekod jenayah itu kini direman tujuh hari bagi siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!