Negeri Sembilan sasar kumpul dana RM1 juta bantu Palestin

Aminuddin Harun - Foto Bernama
Aminuddin Harun - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Negeri Sembilan menyasarkan kutipan RM1 juta untuk disumbangkan kepada umat Islam di Palestin menerusi kerjasama dengan Global Peace Mission (GPM) Malaysia, kata Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, setakat ini sumbangan daripada pelbagai agensi dan syarikat swasta di negeri ini mencecah RM800,000, selain itu semua masjid di negeri ini melancarkan kutipan Jumaat untuk Palestin sejak 13 Oktober dengan kumpulan dana berjumlah RM25,833.20, setakat semalam.

"Kita jangkakan lebih banyak sumbangan masyarakat dapat dikumpulkan. Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh rakyat di negeri ini," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Peduli Palestin Peringkat Negeri Sembilan di Masjid negeri di sini pada Jumaat yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif GPM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri dan GPM pernah melancarkan Peduli Palestin tahun 2021 dan berhasil mengumpul dana lebih RM300,000 yang digunakan untuk menyediakan bantuan makanan, bantuan perubatan, termasuklah projek ternakan ayam secara moden di Gaza.

"Apa yang berlaku di Palestin merupakan ujian ALLAH ke atas kita semua dalam memartabatkan nilai kemanusiaan. Dalam masa sama kita seharusnya bersyukur dengan keamanan dan kesejahteraan dikurniakan ALLAH ke atas negara ini.

"Hargai keamanan ini dengan bertekad untuk terus memelihara hubungan yang baik sesama kaum, berikan hak kepada yang berhak, tingkatkan nilai kemanusiaan, suburkan nilai saling hormat dan bersikap ihsan dalam setiap urusan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!