Polis senarai saksi bantu siasat SD Azilah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyenaraikan beberapa saksi untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani Azilah Hadri berhubung dakwaan pembabitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, siasatan berhubung SD tersebut telah dilaksanakan.

"Beberapa saksi dan individu telah disenaraikan untuk dipanggil bagi merakam kenyataan," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis serah tugas jawatan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi serta Jabatan Pencegahan Jenayah dan keselamatan Komuniti.

Abdul Hamid berkata, pihaknya juga menunggu arahan spesifik daripada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan yang perlu diambil.

"Kita akan melaksanakan tindakan jika ada arahan spesifik daripada Jabatan Peguam Negara," katanya.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan bahawa Azilah, salah seorang daripada dua bekas anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) polis yang disabitkan kesalahan membunuh Altantuya dan dijatuhi hukuman mati mendakwa Najib terbabit dalam pembunuhan itu.

Azilah yang sedang menunggu hukuman gantung sampai mati di penjara Kajang menuduh Najib yang ketika itu adalah timbalan perdana menteri dan Razak Baginda mengarahkan pembunuhan wanita Mongolia itu setelah meyakinkannya bahawa wanita berkenaan adalah perisik asing yang mengancam keselamatan negara.

SD tersebut difailkan bersama dengan afidavitnya untuk mengkaji semula keputusan Mahkamah Persekutuan dan memohon perbicaraan semula.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!