Pejabat agensi ABIM di Palestin musnah dibom
KOTA BHARU - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menerima maklumat berhubung pejabat agensi mereka iaitu Global Peace Mission (GPM) di Palestin musnah akibat dibom rejim zionis dalam peperangan pada Rabu lalu.
Serangan itu meranapkan bangunan tiga tingkat terletak di Utara Gaza yang menempatkan peralatan pejabat operasi berkenaan di tingkat paling atas.
Naib Yang Dipertua 1 ABIM Kelantan, Saifulnizam Muhamad berkata, maklumat berhubung insiden itu diterima menerusi rakyat Palestin, Dr Tareq al Talmas yang juga Pengurus Besar GPM memberitahu pejabat operasi yang digunakan dalam misi membantu rakyat Palestin sudah musnah.
Katanya, lebih menyayat hati apabila rumah Dr Tareq sendiri turut ranap dibom oleh rejim berkenaan.
“Kami berhubung dengan Dr Tareq semalam dan bersyukur kerana beliau, keluarga terselamat walaupun bangunan pejabat serta rumah beliau runtuh dalam kejadian itu.
“Dr Tareq kini meneruskan misi membantu rakyat Palestin secara bergerak bersama lima lagi sukarelawan GPM yang juga penduduk tempatan manakala nasib sukarelawan lain di bawah GPM masih belum diketahui,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Himpunan Solidariti bersama Palestin di Dataran Rehal di sini, pada Jumaat.
Turut hadir, Pengerusi Himpunan Kasih, Abu Samah Hassan dan Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim.
Saifulnizam mengulas, status projek makanan mampan melibatkan ladang ternakan ayam di bawah pertubuhan itu juga tidak diketahui.
Walau bagaimanapun, bantuan kewangan kepada negara itu diteruskan kerana sistem perbankan masih berfungsi.
“Setakat ini, bantuan berjumlah 16,000 item melibatkan makanan panas, dalam tin dan air minuman diagihkan kepada rakyat Palestin serta akan diteruskan dari semasa ke semasa,” kata beliau.
Sementara itu, Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Kelantan, Abdul Rahman Salleh berkata, seramai 1,000 individu menyertai perhimpunan solidariti tersebut melibatkan 25 badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negeri Kelantan.
Katanya, mereka juga terdiri daripada para wanita yang menyatakan bantahan atas kekejaman zionis Israel terhadap penduduk Islam di Gaza terutama kanak-kanak dan wanita.
“Kami akan tetap membantu saudara kita yang dalam kesusahan dan kesukaran akibat peperangan dengan Israel.
“Kami laungkan, ‘from the river to the sea, Palestine will be free’,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!