Solidariti Palestin: ABIM serah memorandum kepada Duta Besar EU
SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum kepada Kesatuan Eropah (EU) menerusi Duta Besarnya di Malaysia, Michalis Rokas pada Jumaat bagi mendesak menegakkan hak asasi warga Palestin seiring dengan nilai keadilan serta kesaksamaan.
Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, memorandum itu menegaskan mengenai pendirian EU memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Israel seolah-olah menggambarkan badan tersebut merestui kekejaman yang dilakukan ke atas penduduk Palestin.
Menurutnya, sekiranya EU terus menutup mata dan mengamalkan sikap berdiam diri, mereka perlu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kekejaman yang sengaja dilakukan Israel serta mengusulkan agar Parlimen Eropah mengisytiharkan negara itu aparteid sebagai bukti bantahan bersepadu.
“Kami menyambut baik pemerintah Ireland yang mengecam tindakan tentera Israel. EU sepatutnya menyokong Resolusi 2334 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 23 Disember 2016 selaras dengan semangat piagam VII.
“Negara-negara anggota EU perlu mendesak PBB mendakwa Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Resolusi 2334 menegaskan penubuhan penempatan negara berkenaan di Palestin serta Timur Baitul Maqdis adalah haram di sisi undang-undang antarabangsa.
“EU juga perlu mempertahankan hak rakyat Palestin yang sekian lama menderita khususnya untuk beribadah dengan bebas di Masjid Al-Aqsa tanpa gangguan serta memelihara tapaknya daripada sebarang usaha pemusnahan rejim zionis,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan, peperangan antara Israel dan Palestin yang sudah berlanjutan sejak sekian lama membuktikan kegagalan PBB menangani krisis di negara Asia Barat sehingga menyebabkan kematian orang ramai.
Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, PBB hanya mendiamkan diri sedangkan angka kematian orang dewasa dan kanak-kanak dalam serangan di Palestin semakin meningkat hari demi hari.
Tambah Muhammad Faisal, memorandum itu juga menegasan pendirian ABIM untuk mendukung perjuangan rakyat Palestin yang memperjuangkan kemerdekaan tanah air mereka daripada cengkaman rejim Israel.
“Tindakan Israel mengepung Gaza merupakan satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan kerana menafikan hak asasi penduduknya seramai 2.2 juta orang untuk akses kepada bekalan air bersih serta bekalan elektrik.
“Pengeboman ke atas Hospital Al-Ahli Arab turut membuktikan di mata masyarakat dunia bahawa penduduk di Gaza menjadi mangsa kekejaman.
“Selain itu, Israel telah mengehadkan ruang untuk Palestin bergerak bebas serta membawa barang keperluan asas merentasi sempadan Gaza dan dalam masa yang sama membantu pembentukan penempatan haram pendatang ini di Tebing Barat,” ujarnya.
Beliau berkata, penjajahan negara berkenaan merupakan punca utama pergolakan sosio politik di Asia Barat iaitu korban nyawa serta penduduk awam semakin meningkat membuktikan bahawa usaha diplomatik yang diadakan sebelum itu tidak berhasil.
“Pencerobohan dari semasa ke semasa terhadap Masjid Al-Aqsa yang merupakan tanah suci umat Islam juga telah menjadi punca ketidakstabilan politik di Asia Barat diikuti dengan tindakan agresif ke atas Palestin,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!