RFID di 62 plaza tol, lebuh raya sistem tol terbuka
SHAH ALAM - Pelaksanaan kutipan tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) akan dilaksanakan di 62 plaza tol, lebuh raya sistem tol terbuka bagi kenderaan kelas 1 bermula 1 Januari 2020.
Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, langkah tersebut menjadikan sistem RFID sebagai salah satu pilihan mod pembayaran terkini secara elektronik yang diperkenalkan di lebuh raya di samping pembayaran secara kad Touch 'n Go dan Smart Tag.
Beliau berkata, pembayaran tol secara RFID ini dijangka dapat melancarkan aliran trafik di lorong tol memandangkan pengguna tidak perlu lagi berhenti untuk menyentuh kad pada 'reader'.
Menurutnya, pelaksanaan kutipan tol secara RFID juga adalah langkah awal ke arah pelaksanaan sistem kutipan tol tanpa henti (MLFF) di lebuh raya yang merupakan aspirasi kerajaan ke arah meningkatkan kualiti perkhidmatan bayaran tol pada masa depan.
"Pelbagai faedah juga bakal dinikmati pengguna lebuh raya seperti dapat membuat transaksi bayaran tol dengan lebih mudah dan selesa, tiada kos penyelenggaraan memandangkan pelekat RFD tidak memerlukan bateri, tambah nilai boleh dibuat secara atas talian tanpa perlu ke pusat khidmat pelanggan atau lokasi tambah nilai.
"Pelekat RFID juga ditampal pada kenderaan serta tidak mudah hilang, selain dapat mengurangkan isu operasi sedia ada melibatkan pengguna seperti lewat meletakkan model OBU Smart Tag atau diletakkan secara terbalik dan bateri lemah," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya, pelaksanaan ujian rintis RFID sudah dilakukan di plaza-plaza tol terpilih di 24 lebuh raya mulai tahun 2018 dan mendapat respon yang positif daripada pengguna.
"Antara plaza tol yang sudah menawarkan sistem kutipan tol secara RFID adalah di Lebuhraya Utara selatan (PLUS) iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar, Plaza Tol Kempas, Plaza Tol Jitra; Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua); Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Cheras-Kajang (Grandsaga), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya KL-Karak (KLK), Lebuhraya lingkaran Kajang (Silk) dan Lebuhraya Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint)," katanya.
Bagi pengguna lebuh raya yang ingin mendapatkan pelekat RFID boleh terus melayari 18 'fitment centres' touch 'n Go di http://rfidregister.touchngo.com.my/fitment-centres atau 112 'fitment centres' bergerak (mobile) di https://www.tngdigital.com.my/rfid.
Pengguna yang sudah memiliki pelekat RFID dinasihatkan untuk sentiasa memastikan e-wallet mempunyai baki yang mencukupi untuk pembayaran tol sebelum memasuki lebuhraya bagi menikmati perjalanan yang lancar dan selesa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!