Penduduk Gaza pisahkan ahli keluarga pastikan ada yang terselamat
IPOH - Penduduk Gaza ketika ini terpaksa memisahkan ahli keluarga masing-masing bagi memastikan ada dalam kalangan mereka yang terselamat jika kediaman menjadi sasaran tentera zionis Israel.
Perkara itu didedahkan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr Sharif Amin Abu Shamalla ketika menceritakan situasi terkini di Gaza yang terus menjadi sasaran pendatang Yahudi itu.
Menurutnya, ahli keluarga ditempatkan di rumah yang berbeza bersama-sama penduduk lain malah disebabkan ramai kehilangan kediaman mereka terpaksa berkongsi tempat berlindung.
"Disebabkan bumi Gaza mempunyai tanah yang terhad, mereka tinggal di kediaman tinggi yang mengandungi kira-kira 10 orang sekeluarga satu rumah. Malah ketika ini bagi mengelakkan mereka hilang kesemua ahli keluarga, mereka memisahkan antara satu sama lain.
"Jadi dalam satu rumah sekarang ada yang berlainan ahli keluarga kerana jika berlaku serangan ada ahli yang terselamat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penerangan Keadaan Gaza, Palestin di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak) di sini pada Jumaat.
Hadir sama pada majlis itu, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid.
Ditanya mengenai keadaan ahli keluarganya di Palestin, Sharif Amin berkata, adik-beradiknya masih selamat namun ada sebahagian saudara-mara yang telah terkorban.
Katanya, lebih menyayat hati ramai dalam kalangan saudara-mara tidak dapat untuk mengurus dan menghadiri majlis pengebumian ahli keluarga kerana kebanyakan mereka hanya tinggal berseorangan.
"Kebanyakan mereka hanya melihat pengebumian melalui rakaman video kerana mereka sudah tidak ada sesiapa. Saya sebenarnya masih tidak dapat berhubung dengan beberapa ahli keluarga tetapi saya dapat berita daripada orang lain bahawa mereka masih selamat.
"Apa yang berlaku di Gaza ketika ini adalah pembunuhan beramai-ramai orang yang tidak bersalah. Jenayah ini bukan sahaja dilakukan Israel tetapi disertai Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah. Mereka harus diheret ke muka pengadilan. Saya harap Malaysia mengetuai inisiatif untuk membawa Israel ke mahkamah jenayah perang," katanya.
Dalam pada itu, Sharif Amin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana konsisten menyokong perjuangan rakyat Palestin.
Katanya, begitu juga dengan usaha dimainkan oleh rakyat Malaysia melalui pelbagai bantuan dalam memastikan suara rakyat Palestin didengari selain inisiatif kemanusiaan yang digerakkan semua pihak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!