Pisang belum masak pun kena rembat
TEMERLOH - Seorang peniaga buah-buahan di Seberang Temerloh di sini kerugian lebih RM150 selepas 15 sikat pisang berangan yang digantung di premis miliknya dicuri pada Jumaat.
Asmawarni Marzuki, 33, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi dan hanya disedari pekerjanya yang tiba di premis tersebut dua jam kemudian.
"Pada mulanya pekerja ingat sudah terjual, pisang-pisang tersebut sudah diambil oleh saya tapi sebenarnya tidak.
"Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di premis, seorang lelaki membawa lari pisang-pisang yang digantung dengan guni menggunakan motosikal," katanya kepada Sinar Harian.
Tambah wanita tersebut, sebelum ini beberapa siri kejadian kecurian pisang sudah berlaku namun dalam jumlah sedikit berbanding kali ini.
"Sebelum ini saya juga pernah berdepan kerugian hampir RM700 apabila cempedak di premis dicuri tahun lepas malah pernah CCTV yang dipasang dibawa lari juga.
"Buat masa ini tiada laporan polis dibuat namun jika berlaku lagi, saya akan ambil tindakan selanjutnya," katanya yang turut meminta orang ramai berhati-hati jika ditawarkan untuk membeli buah pisang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!