Perjuangan menangi hati pengundi DUN Jepak bermula
BINTULU - [DIKEMAS KINI] Gendang perjuangan memenangi hati rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak di sini, bakal bergema bermula Sabtu apabila proses penamaan calon untuk pilihan raya kecil (PRK) DUN itu, akan berlangsung di Dewan Suarah di sini bermula jam 9 pagi.
Bahang kehangatan menghadapi PRK ini semakin terasa sejak seminggu lepas, apabila bandar yang terletak kira-kira 620 kilometer ke utara dari bandar raya Kuching ini, menjadi tumpuan pemimpin dan ahli parti politik Sarawak dari segenap penjuru negeri.
PRK Jepak diadakan berikutan penyandang kerusi DUN itu, Allahyarham Datuk Talib Zulpilip, 72, dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) meninggal dunia pada 15 September lepas, dan kekosongan kerusi itu telah dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 18 September.
Selain menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon, SPR dalam pengumumannya pada 25 September mengumumkan 4 November sebagai hari pengundian dan 31 Oktober sebagai hari pengundian awal.
Bagaimanapun, pada Jumaat, Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Jepak, Abang Zainuddin Abang Turkey berkata, tiada pusat mengundi awal akan dibuka pada hari pengundian awal itu, kerana kesemua 43 pengundi awal yang terdiri dari anggota polis, akan menggunakan sistem undi pos.
Allahyarham Talib merupakan Ahli DUN Jepak selama 27 tahun, dengan mengharungi enam pilihan raya negeri sejak 1996 dan sekali gus menjadikan kawasan DUN itu sebagai kubu kuat GPS.
Susulan pemergiannya, PRK ini akan menjadi medan pertama untuk GPS meletakkan muka baharu mewakili mereka, setelah hampir 30 tahun.
Rabu lepas, GPS mengakhiri teka-teki bakal calon mereka untuk PRK ini, apabila bekas pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) cawangan Sarawak Iskandar Turkee, telah diumumkan sebagai pilihan mereka.
Sebelum itu, dua parti pembangkang tempatan Sarawak sudah menamakan calon masing-masing bagi mencabar GPS, selain desas-desus kehadiran beberapa orang calon Bebas menyertai saingan dalam PRK itu turut kedengaran.
Sementara itu, Perikatan Nasional dalam kenyataan Rabu lepas mengumumkan, tidak akan meletakkan calon untuk bertanding pada PRK Jepak, kerana mereka ingin memberi tumpuan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman, Terengganu pada PRK yang akan diadakan pada 2 Disember depan.
PKR Sarawak pula telah mengambil tindakan sama untuk tidak meletakkan calon di PRK Jepak, demi menjaga keharmonian Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Pada Pilihan Raya Negeri 2021, Allahyarham Talib memenangi kerusi DUN Jepak dengan majoriti undi 4,243. DUN Jepak mempunyai 22,804 pengundi berdaftar dengan majoritinya terdiri daripada etnik Melayu/Melanau. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!