Siapa tentukan sah tidak?

Sabri Yunus (kanan) dengan Ardini Angeline Tan sewaktu hari pernikahan mereka.
Sabri Yunus (kanan) dengan Ardini Angeline Tan sewaktu hari pernikahan mereka.
A
A
A

SEORANG ‘ulama’ mendakwa pernikahan pengarah dan pelakon Sabri Yunus dengan Ardini Angeline Tan tidak sah.

Pendakwah dari Indonesia itu berkata, pernikahan tersebut patut diulang oleh sebab ada kesilapan.

Awang macam orang lain juga, terkejut dengan kenyataan itu. Syeikh Nuruddin Marbu Al-Banjari memberikan alasan bahawa ungkapan sambutan (qabul) yang dilafazkan oleh Sabri tidak lengkap atau tidak sempurna.

Awang bukanlah pandai agama sangat, tapi Awang rasa pelik mengapa Syeikh itu membuat kenyataan demikian?

Apakah hak atau autoriti beliau berbuat demikian? Yang menikahkan Sabri dan Ardini bukan sembarangan orang.

Beliau ialah Mufti Negeri Perlis sendiri. Beliau orang yang tahu hukum dan faham bab munakahat dalam Islam.

Lebih terkejut Awang apabila Sheikh itu mengatakan bagi menyelamatkan keadaan, Ardini boleh menikahkan dirinya sendiri dengan syarat ada dua saksi. Makin bingung jadinya kita.

Seingat Awang, Sheikh ini pernah dilarang memberikan ceramah di Malaysia oleh Jakim pada tahun 2014.

Artikel Berkaitan:

Beliau dikatakan banyak membangkitkan isu yang boleh menimbulkan kekeliruan serta memecahbelahkan umat Islam.

Masih bebaskah beliau berceramah di Malaysia?

Banjir akan datang

Sekarang sudah bermula musim hujan. Banjir di Pantai Timur akan berlaku. Begitu juga di kawasan yang rendah khususnya di Johor, Selangor dan Kedah.

Ini merupakan kisah yang berulang tahun demi tahun.

Awang cuma nak tahu apakah projek mengawal banjir sudah dimulakan? Projek flood mitigation atau tebatan banjir ini sangat penting.

Setahu Awang, memang ada pelan untuk menangani soal banjir dengan projek meluaskan sungai, buat takungan, pengubahan saluran air dan macam-macam lagi.

Seingat Awang, mantan Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man pernah umumkan kos sebanyak RM50 bilion diperlukan dalam masa 10 tahun untuk tujuan itu.

Malah Pakatan Harapan (PH) menjadikan sebahagian manifestonya untuk mencari penyelesaian jangka panjang projek tebatan banjir di Wilayah Persekutuan.

Memang isu kontrak projek tebatan banjir ini panas semasa pilihan raya umum yang lepas. Ada yang dedahkan syarikat diberikan kontrak cara rundingan terus.

Macam-macamlah pendedahan dibuat oleh Rafizi Ramli pada masa itu.

Pada pendapat Awang, asalkan telus dan ikut peraturan, berbelanjalah untuk tujuan itu. Lupakanlah soal politik dalam menangani isu banjir. Anggaplah ia satu keutamaan. Banjir besar memusnahkan harta benda dan nyawa.

Jangan sampai apabila berlaku banjir besar baru terkocoh-kocoh nak mulakan projek.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!