FAM serah kepada Pan-gon
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum melakukan 'post mortem' susulan kegagalan skuad Harimau Malaya menjuarai kejohanan Pestabola Merdeka baru-baru ini.
Sebaliknya Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, badan induk itu menyerahkan sepenuhnya kepada pengendali pasukan negara, Kim Pan-gon untuk melihat dan mengkaji kelemahan yang terdapat dalam skuad negara sebelum menghadapi aksi Kelayakan Piala Asia/Piala Dunia 2026 pada bulan depan dan Piala Asia pada Januari.
"Belum ada lagi (post mortem). Itu kita serahkan kepada Pan-gon," katanya kepada media selepas sidang akhbar pelancaran program Road To Doha sempena Piala Asia 2023 pada Jumaat.
Pada aksi Pestabola Merdeka itu, Harimau Malaya berjaya menundukkan India 4-2 dalam perlawanan pertama sebelum tumbang di tangan Tajikistan pada aksi final sekali gus gagal mencapai sasaran Pan-gon untuk menjuarai kejohanan itu yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Sukan Sinar turut melaporkan bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail yang mahu Pan-gon menilai kembali prestasi pemain sedia ada selain memikirkan penggantian yang sewajarnya.
Dalam pada itu, Noor Azman turut mengesahkan Stadium Bukit Jalil akan tetap menjadi venue aksi Kelayakan Piala Asia/Piala Dunia 2026 walaupun keadaan padang stadium itu dikritik kerana tercabut pada beberapa bahagian pada aksi Pestabola Merdeka.
Malah, timbul kebimbangan bahawa padang itu belum lagi bersedia untuk digunakan sepenuhnya dalam tempoh kurang sebulan sebelum aksi pertama Kumpulan D menentang Kyrgyzstan pada 16 November ini.
"Setakat hari ini (perlawanan akan diadakan di) Stadium Nasional Bukit Jalil. Namun, kita akan sentiasa memikirkan alternatif (sekiranya tidak dapat digunakan)," katanya.
Mengulas mengenai program Road to Doha itu, beliau berkata, ia membuka peluang kepada penyokong Harimau Malaya untuk terbang ke Qatar menyaksikan aksi Harimau Malaya beraksi di Piala Asia dengan beberapa pakej yang disediakan oleh MFast Resources Holding Sdn Bhad.
"Ia tercetus apabila penyokong menghubungi Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk mencari kaedah terbaik untuk membawa penyokong ke Qatar dengan kos berpatutan termasuk harga tiket penerbangan.
"Beberapa perbincangan dilakukan oleh FAM, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Malaysia Airlines telah menyaksikan program ini berjaya direalisasikan," katanya.
Harga pakej yang ditawarkan bermula serendah RM1,838 hingga RM13,500 merangkumi antaranya tiket penerbangan, tiket perlawanan dan penginapan yang akan mula dijual pada Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!