Siapa golongan maha kaya?
JIKA dahulu kelompok rakyat berpendapatan rendah iaitu B40 sering meniti di bibir pihak kerajaan dan pembangkang, namun kini golongan T20 pula menjadi subjek popular sejak akhir-akhir ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai keazaman untuk mengurangkan subsidi terhadap golongan maha kaya tetapi pembangkang sebaliknya tidak bersetuju dan mengkritik dasar tersebut.
Jadi, persoalan yang paling penting ialah berapa ramai dan siapakah golongan maha kaya yang sering disebut oleh Perdana Menteri?
Berdasarkan data dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan pada Julai 2023, kumpulan B40 yang memperoleh had pendapatan sehingga RM5,249 adalah seramai 3.16 juta isi rumah.
Kumpulan M40 merekodkan julat pendapatan antara RM5,250 hingga RM11,819 dan terdiri daripada 3.16 juta isi rumah.
Sementara itu, sebanyak 1.58 juta isi rumah berada dalam kumpulan T20 dengan pendapatan melebihi RM11,820 dan ke atas.
Golongan T20 terbahagi kepada dua kumpulan iaitu T1 dengan had pendapatan isi rumah antara RM11,820 hingga RM15,869, sementara T2 pula had pendapatan ialah RM15,870 dan lebih.
Semasa pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri mengatakan bahawa kerajaan perlu mengambil langkah mengapungkan semula harga ayam dan telur supaya manfaat subsidi diberikan kepada mereka yang layak.
Kata Anwar, sejak 2022, kerajaan telah mengeluarkan subsidi keseluruhan sebanyak RM3.7 bilion bagi menampung kos ayam dan telur.
Langkah itu menyebabkan 3.5 juta warga asing dan 10 peratus golongan maha kaya dalam negara dapat menikmati subsidi diberikan kerajaan.
Menerusi data-data yang diberikan itu, bermakna golongan maha kaya yang ada di negara ini adalah seramai 158,000 orang.
Bagaimanapun, buat masa ini kita tidak tahu sekaya manakah 158,000 orang ini sehingga mereka tergolong sebagai golongan maha kaya.
Namun, jika merujuk kepada Senarai 50 Individu Terkaya Malaysia, Forbes 2023, Tan Sri Robert Kuok memiliki kekayaan lebih AS$11.8 bilion (kira-kira RM54.40 bilion).
Beliau menduduki tempat teratas selama lebih suku abad dan menjadi salah satu daripada hanya dua orang dalam senarai tersebut dengan kekayaan lebih AS$11.8 bilion.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Hong Leong Malaysia, Tan Sri Quek Leng Chan menduduki tempat kedua dengan nilai kekayaan RM47.03 bilion.
Taikun logam, Koon Poh Keong dan adik-beradiknya memiliki kekayaan bernilai RM26.74 bilion, sementara Ananda Krishnan daripada Maxis sebanyak RM24.90 bilion.
Gandingan bapa dan anak, Yaw Teck Seng dan Chee Ming yang mengusahakan syarikat gergasi kayu, Samling mempunyai RM5.76 bilion.
Bekas guru Matematik yang juga Pengerusi Eksekutif syarikat makanan laut, QL Resources, Chia Song Kun memiliki kekayaan RM8.30 bilion.
Jadi, besar kemungkinan mana-mana individu yang ada kaitan perniagaan atau hubungan kekeluargaan dengan 10 individu terkaya di Malaysia ini juga berada dalam senarai golongan maha kaya.
Seandainya mereka ini juga menikmati subsidi, adakah pada pandangan anda ia adil ataupun tidak?
Mungkin sesetengah pihak berasakan kenyataan ini lucu kerana mustahil mereka menikmati subsidi.
Mungkin juga ada yang akan mengatakan mereka adalah pembayar cukai paling tinggi di negara ini dan kita semua harus berterima kasih.
Tetapi ia juga tidak mewajarkan mereka menjadi penerima subsidi.
Ini semua adalah perbalahan yang tidak berkesudahan sama seperti persoalan mana yang keluar dahulu, sama ada telur atau ayam.
Jadi, apa kata kita lupakan sahaja dengan 158,000 golongan maha kaya ini dan kembali beri perhatian apa yang perlu dilakukan untuk membantu 3.16 juta isi rumah dalam kategori B40.
* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!