Zii Jia, Aaron-Wooi Yik teruskan cabaran di Terbuka Denmark
WAKIL tunggal perseorangan negara, Lee Zii Jia meneruskan persembahan cemerlang dalam kejuaraan badminton Terbuka Denmark apabila mengesahkan slot separuh akhir pada awal pagi Sabtu.
Zii Jia meneruskan kemaraan selepas menyingkirkan cabaran pemain dari Jepun, Kenta Nishimoto, straight set, 21-18, 21-18 dalam masa 51 minit di Arena Jyske Bank, Odense.
Pemain dari Alor Setar, Kedah berusia 25 tahun tersebut sebelum itu mara ke suku akhir selepas meraih kemenangan percuma ke atas jaguh nombor satu dunia kelahiran Denmark, Viktor Axelsen yang menarik diri akibat kecederaan kaki kiri.
Nishimoto pula mara selepas mengharungi perlawanan berintensiti tinggi hingga ke set penentuan sebelum menghantar pulang wakil Taiwan, Chou Tien Chen 10-21, 21-19, 21-14.
Zii Jia yang masih segar dengan status juara Terbuka Artik, akan berdepan pemain lincah dari Hong Kong, Lee Cheuk Yiu yang menyingkirkan lawan dari Denmark, Rasmus Gemke, 21-17, 21-12, bagi perebutan slot perlawanan akhir.
Sementara itu, beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik juga meneruskan kemaraan ke separuh akhir kejuaraan Super 750 tersebut.
Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik dipaksa berhempas pulas sebelum menjinakkan beregu sensasi berprofil tinggi dari China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu.
Aaron-Wooi Yik yang bermula cemerlang dengan kemenangan 24-22 di set pertama bagaimanapun tumbang set kedua 18-21 penangan kebangkitan lawan mereka tersebut.
Di set penentuan, Aaron-Wooi Yik yang berstatus nombor empat dunia bangkit lebih bertenaga untuk menewaskan beregu nombor 16 dunia, Ji Ting-Xiang Yu, 21-21 dalam masa 64 minit.
Kemenangan itu membolehkan Aaron-Wooi Yik pilihan kelima berdepan gandingan ketujuh kejuaraan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen yang mara selepas menewaskan satu lagi pasangan negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, 21-19, 11-21, 21-14 dalam masa 56 minit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!