PRK DUN Jepak bermula hari ini
BINTULU - Pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak di Dewan Suarah di sini dibuka pada jam 9 pagi ini.
Tempoh proses penamaan calon adalah selama sejam hingga 10 pagi sebelum calon-calon yang layak bertanding diumum Pegawai Pengurus PRK DUN Jepak, Abang Zainuddin Abang Turkey.
PRK Jepak diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Talib Zulpilip, 72, dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada 15 September lepas.
Pada Pilihan Raya Negeri 2021, Allahyarham Talib memenangi kerusi DUN Jepak dengan majoriti undi 4,243.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi untuk PRK DUN Jepak adalah pada 4 November ini, manakala 31 Oktober sebagai tarikh pengundian awal.
Bagaimanapun pada Jumaat, Abang Zainuddin memaklumkan tiada pusat mengundi awal akan dibuka pada 31 Oktober ini kerana kesemua 43 pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis akan menggunakan sistem undi pos.
Rabu lepas, GPS mengumumkan bekas Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) cawangan Sarawak Iskandar Turkee sebagai calon mereka.
Sebelum itu, dua parti pembangkang tempatan Sarawak sudah menamakan calon masing-masing bagi mencabar GPS, selain desas-desus mengenai penyertaan beberapa calon Bebas dalam PRK itu.
Sementara itu, Perikatan Nasional membuat ketetapan tidak meletakkan calon untuk bertanding pada PRK DUN Jepak, kerana ingin memberi tumpuan mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman, Terengganu pada PRK yang akan diadakan pada 2 Disember depan.
PKR Sarawak juga mengambil tindakan sama untuk tidak meletakkan calon di PRK DUN Jepak, demi menjaga keharmonian Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
PRK DUN Jepak mempunyai sebanyak 22,804 pengundi berdaftar dengan majoritinya terdiri daripada etnik Melayu/Melanau. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!