Arwah sempat ucap selamat hari lahir kepada suami

Ahli keluarga dan anggota Pas Sungai Petani membantu urusan jenazah tiga Muslimat Pas yang terkorban dalam nahas dekat Behrang pada Jumaat. (Gambar kecil: Nurul Najihah, Taibah, Fatihah Nabila)
Ahli keluarga dan anggota Pas Sungai Petani membantu urusan jenazah tiga Muslimat Pas yang terkorban dalam nahas dekat Behrang pada Jumaat. (Gambar kecil: Nurul Najihah, Taibah, Fatihah Nabila)
A
A
A

TANJUNG MALIM - [DIKEMAS KINI] Perwakilan Muslimat Pas yang maut semasa membantu mangsa kemalangan di Kilometer 390 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Behrang, di sini pada Jumaat sempat menghantar kiriman ucapan selamat hari jadi kepada suaminya.

Nurul Najihah Amzi, 27, memberikan ucapan dalam bentuk video menerusi aplikasi WhatsApp kepada suaminya, Faizal Jailani, 42, yang menyambut hari kelahirannya pada Jumaat sekitar jam 12 tengah hari iaitu kira-kira dua jam sebelum kejadian berlaku.

Faizal berkata, sepanjang enam tahun perkahwinan mereka, Allahyarham memang tidak pernah lupa memberikan ucapan dan selalu membuat pelbagai kejutan untuk meraikan hari jadinya itu.

Faizal ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Slim River di sini.
Faizal ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Slim River di sini.

"Dia hantar video ucapan sebab saya masih berada dalam dewan muktamar untuk mengikuti persidangan.

"Ikutkan saya sendiri pun lupa hari ini hari jadi saya sampailah saya dapat kiriman video itu.

"Saya dapat tahu isteri saya sudah berpakat dengan kawan-kawan saya untuk buat kejutan, tetapi saya tak tahu kejutan yang bagaimana," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Slim River di sini.

Dalam kejadian sekitar jam 2.30 petang itu, Nurul Najihah yang merupakan Penolong Setiausaha Muslimat Pas Sungai Petani meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital.

Artikel Berkaitan:

Dua lagi mangsa, Ketua Unit Khas Wanita Muda Pas Sungai Petani, Fatihah Nabila Bukri, 23, dan Ketua Muslimat Pas Sungai Petani, Taibah Sulaiman, 61, maut di tempat kejadian.

Kejadian berlaku semasa ketiga-tiga mangsa bersama dua lagi perwakilan Muslimat dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani, Kedah selepas mengikuti Muktamar Tahunan Pas ke-69 yang berlangsung di Shah Alam.

Faizal yang juga Setiausaha Pas Kawasan Sungai Petani berkata, dia dan isteri hadir bersama ke persidangan muktamar pada Rabu menaiki kereta.

Katanya, isterinya pulang lebih awal bersama rakan kerana dia perlu mengikuti persidangan sehingga hari terakhir pada Ahad.

"Pagi sebelum kejadian kami ada berjumpa, dia salam dan cium tangan saya sebelum kami masuk dalam dewan.

"Dalam jam 3 petang, saya dapat panggilan isteri saya kemalangan membuatkan saya segera bergegas ke hospital, tetapi tak sangka satu jam kemudiannya ada doktor menelefon memaklumkan isteri saya sudah tiada," katanya.

Beliau juga tidak menyangka gurauan isterinya yang mahu disemadikan di kampung halaman di Alor Setar sejak tiga bulan lalu menjadi petanda akan pergi selamanya.

Van jenazah membawa ketiga-tiga mangsa keluar dari pekarangan Unit Forensik Hospital Slim River sekitar jam 12 malam sebaik proses bedah siasat selesai.
Van jenazah membawa ketiga-tiga mangsa keluar dari pekarangan Unit Forensik Hospital Slim River sekitar jam 12 malam sebaik proses bedah siasat selesai.

Malah ujarnya, isterinya itu semakin kerap solat malam, berpuasa dan membaca al-Quran berbanding hari-hari biasa.

"Dia ingatkan saya kalau dia sudah tiada nanti, minta 'simpan' dan semadikan dia di Alor Setar.

"Memang saya ingat itu hanya gurauan sebab hampir setiap bulan dia ingatkan benda yang sama," katanya.

Jenazah Nurul Najihah dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al Irfan, Derga, Alor Setar pada pagi Sabtu.

Semua jenazah dibawa pulang ahli keluarga sekitar jam 12 malam sebaik selesai menjalani proses bedah siasat di Hospital Slim River.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!