Tingkatkan pengambilan kalori dan protein dalam diet pesakit kanser.

Masalah pemakanan berkaitan kesan daripada penyakit kanser dan rawatannya.

DIET pemakanan perlu dikawal dan dijaga khususnya kepada pesakit kanser.
DIET pemakanan perlu dikawal dan dijaga khususnya kepada pesakit kanser.
A
A
A

Kanser dan rawatannya, iaitu radioterapi dan kemoterapi, boleh menyebabkan pelbagai kesan sampingan yang boleh mempengaruhi pengambilan makanan.

Beberapa faktor akan menentukan tahap kesan sampingan seperti:

  1. Jenis kanser yang dihidapi
  2. Bahagian anggota yang terlibat dengan rawatan anti kanser
  3. Dos dan tempoh rawatan anti kanser.

Secara umumnya, rawatan kemoterapi dan radioterapi akan menyebabkan:

  1. Kurang selera makan
  2. Berasa loya
  3. Muntah (kadang-kadang)
  4. Perubahan deria rasa dan bau

Penurunan sel darah putih, sel darah merah dan platlet juga boleh berlaku dan menyebabkan pesakit akan berasa letih.

Khusus bagi rawatan radioterapi, kesan sampingan adalah bergantung kepada bahagian anggota yang diberikan rawatan radioterapi. Sebagai contoh:

  1. Jika radioterapi diberikan pada bahagian mulut atau muka (facial), maka rawatan radioterapi tersebut akan menyebabkan radang pada mukosa mulut yang juga dipanggil mucositis di mana pesakit akan berasa sakit dalam mulut.

    - Sakit tekak juga boleh berlaku dan menyebabkan kesakitan semasa menelan makanan.

    - Selain itu, pesakit juga mengalami perubahan deria rasa dan bau.

  2. Jika radioterapi diberikan pada bahagian pelvis, contohnya dalam kanser usus besar, kanser servik atau endometrium, maka pesakit akan mengalami cirit-birit sebagai kesan sampingan daripada radioterapi tersebut.

Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa semua kesan sampingan yang disebabkan oleh rawatan kemoterapi dan radioterapi adalah suatu keadaan yang sementara sahaja yang berlaku ketika rawatan dan kemungkinan berterusan sehingga 3 bulan selepas rawatan. Ia akan pulih selepas tempoh tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kepentingan Pemakanan

Kesan daripada rawatan kanser seperti yang dinyatakan di atas akan mempengaruhi proses:

  1. Penghadaman
  2. Penyerapan nutrien
  3. Kebolehdapatan nutrien yang penting daripada makanan yang diambil oleh pesakit kanser.

Kekurangan nutrien yang penting akan meningkatkan risiko kepada kekurangan zat makanan atau dikenali sebagai malnutrisi.

Cancer Treatment Centers of America melaporkan hampir 65% hingga 70% pesakit kanser mengalami malnutrisi.

Kanser berkaitan malnutrisi akan menyebabkan pesakit berasa letih, lemah dan tidak dapat mencapai matlamat rawatan kanser yang diberikan.

Justeru, pengambilan pemakanan yang optimum semasa dan selepas rawatan kanser adalah sangat penting untuk:

  1. Meningkatkan tindakbalas dan penerimaan pesakit terhadap rawatan yang diberikan
  2. Meningkatkan sistem pertahanan tubuh dan mengurangkan risiko jangkitan kuman
  3. Meminimumkan kesan sampingan daripada rawatan anti kanser
  4. Memberi kekuatan dan tenaga kepada tubuh badan
  5. Membantu proses pemulihan dan penyembuhan
  6. Mengekalkan berat badan.

Keperluan Tenaga

Keperluan tenaga bagi pesakit kanser adalah berbeza bagi setiap individu. Ia bergantung kepada:

  1. Berat badan dan ketinggian
  2. Jenis rawatan
  3. Kesan sampingan rawatan anti kanser yang dialami.

Secara dasarnya, keperluan tenaga bagi pesakit kanser adalah tinggi; ia bertujuan untuk:

  1. Mencegah kehilangan berat badan
  2. Meningkatkan kesan rawatan kanser

Keperluan Protein

Protein adalah salah satu nutrien yang tidak boleh diabaikan bagi pesakit kanser. Protein memainkan peranan dalam membentuk dan mengekalkan:

  1. Otot
  2. Tisu
  3. Sel darah merah
  4. Hormon
  5. Memberi kekuatan dalam meningkatkan sistem pertahanan tubuh untuk melawan jangkitan kuman

    Tips Untuk Meningkatkan Pengambilan Kalori dan Protein

    Melalui penambahan makanan berkalori tinggi kepada makanan yang diambil:

    - Tambahkan minyak, mentega atau marjerin ke dalam masakan yang bersesuaian seperti nasi, pasta, kentang, sayur-sayuran dan sup.

    - Sapu mentega, coklat, jem atau madu pada roti, ban atau biskut.

    - Makan lempeng, wafel atau buah-buahan bersama aiskrim.

    - Tambahkan yogurt atau sos salad ke dalam salad buah-buahan dan sayur-sayuran.

    - Tambahkan susu ke dalam masakan seperti sup krim, lempeng, telur hancur, kentang lenyek dan puding.

    - Tambahkan isi ayam atau telur ke dalam sup, salad dan omelet.

    - Taburkan kacang ke dalam pencuci mulut seperti buah-buahan, aiskrim dan puding.

    - Minum susu suplemen rumusan khas yang mempunyai kalori dan protein yang tinggi.

    Melalui cara dan tabiat pengambilan makanan:

    - Makan pada setiap kali waktu makan utama iaitu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam.

    - Makan snek yang sihat seperti jagung rebus, sandwich dan aneka bubur untuk 2 atau 3 kali dalam sehari.

    - Pastikan perut tidak kosong kerana ia akan menimbulkan rasa loya.

    - Elak makanan yang berlemak, pedas serta sangat manis semasa mengalami rasa loya.

    - Ambil kebanyakan minuman atau cecair antara waktu makan.

    - Minum sedikit demi sedikit jus yang sejuk atau mana-mana minuman yang tidak mengganggu perut.

    - Cuba makanan yang sejuk kerana ia kurang bau serta mudah hadam.

    - Elakkan minum berselang-seli semasa makan kerana ia akan membuatkan anda berasa cepat kenyang.

    - Melakukan sedikit aktiviti fizikal yang ringan mengikut kemampuan untuk meningkatkan selera makan.

    - Cuba memakai pakaian yang longgar sekiranya sedang mengalami rasa loya.

Sumber: www.myhealth.gov.my/

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!