Sindiket seludup diesel, makanan sejuk beku tumpas
KUALA LUMPUR - Seramai 15 individu diberkas selepas disyaki terlibat dengan penyeludupan diesel dan makanan sejuk beku menerusi 12 serbuan di beberapa negeri di semenanjung, Sabah dan Sarawak melibatkan rampasan RM16 juta.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, serbuan tersebut dijalankan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) menerusi Op Tiris dan Op Taring sejak 10 Oktober lalu.
Beliau berkata, empat serbuan dijalankan melibatkan Op Tiris manakala lapan serbuan Op Taring dijalankan melibatkan sindiket yang dikesan bergiat aktif.
"Serbuan menerusi Op Tiris yang menyasarkan kegiatan penyelewengan diesel melibatkan seramai 12 individu termasuk seorang warga Myanmar ditahan.
"Kesemua suspek lelaki berumur 20 hingga 48 tahun itu diberkas bersama rampasan bernilai RM1,468,321," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, Op Taring melibatkan tangkapan tiga individu termasuk dua wanita warga Indonesia.
"Kesemua suspek ditahan berumur 26 hingga 36 tahun.
"Turut dirampas adalah 54,515 kotak mengandungi pelbagai jenis makanan sejuk beku, 144 peket gula pasir dengan nilai RM14,121,465.36," katanya.
Menurutnya, tangkapan dijalankan untuk siasatan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Haiwan 2015," katanya.
Ujarnya, sebanyak 165 serbuan dijalankan sejak Januari sehingga Oktober ini dengan melibatkan tangkapan seramai 392 individu.
"Kesemua tangkapan ini terdiri daripada 291 lelaki warga tempatan berumur antara 18 hingga 60 tahun dan 27 wanita tempatan berumur antara 19 hingga 35 tahun.
"Selain itu, serbuan dijalankan turut menahan seramai 64 lelaki warga asing berumur antara 19 hingga 45 tahun dan 10 wanita warga asing berumur 30 hingga 36 tahun," katanya.
Jelasnya, serbuan dan tangkapan dijalankan ini turut melibatkan rampasan pelbagai barang kes bernilai keseluruhan kira-kira RM215,565,308.87.
"JKDNKA sentiasa komited dalam memerangi penyeludupan barangan tidak bercukai kastam serta penyelewengan barangan kawalan bersubsidi agar hasil negara sentiasa dilindungi dan terpelihara.
"Operasi bersepadu bersama agensi-agensi terlibat sentiasa dijalankan dan masa sama orang ramai diharap dapat terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis agar kegiatan jenayah ini dapat dibanteras sepenuhnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!