PRK Kemaman: Masih belum terlambat UMNO tarik diri - Razali

Razali (tengah) selepas Mesyuarat Khas Badan Pimpinan Negeri Terengganu di Ibu Pejabat Bersatu Terengganu pada Jumaat.
Razali (tengah) selepas Mesyuarat Khas Badan Pimpinan Negeri Terengganu di Ibu Pejabat Bersatu Terengganu pada Jumaat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - UMNO masih berpeluang untuk menarik diri daripada bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, ini kerana masih belum terlambat untuk parti itu mengundurkan diri bagi mengelak kekalahan memalukan seperti mana yang berlaku dalam PRK Parlimen Kuala Terengganu sebelum ini.

Menurutnya, agak sukar untuk UMNO memenangi PRK Parlimen Kemaman malah Perikatan Nasional (PN) optimis bahawa calon Pas akan melakar kemenangan dengan majoriti yang jauh lebih besar.

"Masih belum terlewat untuk UMNO buat keputusan menarik diri kerana hari penamaan calon masih lambat lagi.

"UMNO juga perlu mengutamakan kepentingan rakyat yang akan berdepan banjir pada musim tengkujuh. Dalam keadaan sekarang, apakah yang lebih penting untuk UMNO?....sama ada rakyat atau teruskan PRK.

"Sedangkan keputusan PRK Parlimen Kemaman sudah boleh dijangka (Pas akan menang)...untuk elak kekalahan memalukan, lebih baik UMNO tarik diri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Badan Pimpinan Negeri Terengganu di Ibu Pejabat Bersatu Terengganu di sini pada Jumaat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kemaman, Terengganu pada 2 Disember ini manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 18 November dan 28 November.

Artikel Berkaitan:

PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada Jumaat, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dilantik sebagai Pengarah Jentera Barisan Nasional (BN) bagi PRK Kemaman yang akan diadakan pada Disember ini.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa pelantikan bekas Menteri Besar Terengganu itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr AHmad Zahid Hamidi malam tadi.

Mengulas lanjut, Razali berkata, pihaknya akan bekerja keras bagi membalas semula jasa dan sumbangan Pas yang banyak membantu calon Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos lalu.

Beliau menyatakan akan memastikan kemenangan bergaya untuk kerusi Parlimen Kemaman kekal menjadi milik PN dan Pas khususnya.

"Sewaktu saya bertanding DUN Kijal di Kemaman dalam PRN lepas, Pas banyak bantu untuk merampas kerusi tersebut daripada UMNO (yang dimenangi Datuk Seri Ahmad Said).

"Jadi kini tiba masanya Bersatu pula bekerja sedaya upaya untuk mengekalkan kemenangan Pas di PRK Kemaman dengan semua kekuatan yang kita ada selain strategi telah diatur bagi merealisasikannya," jelasnya.

Pada 26 September lalu Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan calon PN, Che Alias Hamid di Parlimen Kemaman pada PRU15 selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika tempoh berkempen.

Pada 3 Oktober lalu, Pas menerusi kenyataan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memutuskan untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya Parlimen berkenaan.

Pertembungan empat penjuru di Parlimen Kemaman sebelum ini menyaksikan Che Alias menang majoriti 27,179 undi dengan memperoleh keseluruhan 65,714 undi menewaskan Ahmad (BN) yang mendapat 38,535 undi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!