Fahami perancangan kerajaan melalui Lan Berambeh Anak Sarawak 2023

Fadillah (tiga dari kiri) merasmikan Program Lan Berambeh Anak Sarawak 2023 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), pada Sabtu. - Foto Bernama
Fadillah (tiga dari kiri) merasmikan Program Lan Berambeh Anak Sarawak 2023 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Golongan muda Sarawak yang mengunjungi Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2023 perlu mengambil peluang untuk memahami perancangan besar diusahakan kerajaan Sarawak melalui pameran yang dianjurkan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ini kerana program LBAS yang memasuki edisi ke-14 itu membawa pelbagai pengisian ilmu, kemahiran dan peluang pekerjaan kepada pengunjung terutama pelajar yang hadir.

"Lebih utama untuk mereka memahami perancangan besar kerajaan negeri Sarawak dan bagaimana mereka sebagai seorang pelajar dapat memainkan peranan serta dapat mengisi ruang dan peluang yang dimainkan oleh kerajaan.

"Kalau kita beralih kepada teknologi baharu, kita memerlukan tenaga mahir dan kita bergantung harap kepada anak-anak muda kita yang belajar sekarang ini untuk mengisi ilmu kemahiran dan bila keluar nanti, mereka akan dapat mengisi segala ruang dan peluang yang diwujudkan kerajaan dalam teknologi baharu,” katanya.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata demikian selepas melawat Pameran Digital 60 Tahun Sarawak Merdeka sempena LBAS 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ,Datuk Rubiah Wang; Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib; Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni dan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.

Fadillah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk LBAS 2023 berkata, pameran tersebut memberi peluang 61 agensi kerajaan dan swasta untuk menyampaikan informasi mengenai bidang kuasa dan perancangan masing-masing dalam usaha memanfaatkan rakyat.

Beliau berkata, pameran itu turut berkongsi sejarah penubuhan Sarawak daripada sebuah negara menjadi sebuah negeri dan akhirnya bersama-sama negeri lain membentuk Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Jadi saya memang mengalakkan dan menyeru bukan sahaja anak-anak Sarawak yang belajar di Semenanjung untuk datang malahan orang bukan Sarawak juga boleh datang melihat pameran dan pelbagai lagi pengisian menarik,” katanya.

Beliau turut menjangkakan 10,000 pengunjung akan hadir bagi memeriahkan program LBAS 2023, sama seperti tahun lepas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!