Rapid Kuantan laksana tambang tanpa tunai bermula November ini

Rapid Kuantan bakal melaksanakan perkhidmatan tambang tanpa tunai bermula 1 November ini. - Gambar hiasan/Bernama
Rapid Kuantan bakal melaksanakan perkhidmatan tambang tanpa tunai bermula 1 November ini. - Gambar hiasan/Bernama
A
A
A

KUANTAN - Rapid Kuantan bakal melaksanakan perkhidmatan tambang tanpa tunai melalui penggunaan kad Touch N Go (TnG) bermula 1 November ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, kad konsesi tambang separuh harga untuk warga emas, orang kurang upaya (OKU), pelajar sekolah, kolej dan universiti pula boleh digunakan bermula Disember.

Menurutnya, kad konsesi itu antara usaha kerajaan negeri bagi membantu meringankan beban golongan tersebut.

"Kod QR sedang ditampal di semua laluan di Kuantan dan Pekan bagi membolehkan penumpang mendapatkan info berkaitan.

"Selain itu, beberapa langkah penambahbaikan perkhidmatan bas Rapid Kuantan juga telah dibentang dan dibincangkan.

"Antaranya berkaitan laluan baharu (T201) di Pusat Bandar (Kuantan City Loop) yang menghubungkan destinasi utama di bandar ini dengan kekerapan antara 10 ke 15 minit untuk setiap trip menggunakan empat buah bas," katanya melalui satu kenyataan di laman rasmi Facebooknya.

Beliau sebelum itu hadir pada sesi perbincangan dan taklimat bersama pihak Rapid Bas Kuantan di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Lipis baru-baru ini.

Mohammad Fakhruddin berkata, semua laluan baru Kuantan City Loop telah dicadangkan dalam perbincangan pertama bersama Rapid Kuantan pada Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

Mohammad Fakhruddin (kanan) pada sesi perbincangan dan taklimat bersama pihak Rapid Bas Kuantan di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Lipis baru-baru ini. - Foto Facebook Fakhruddin Ariff
Mohammad Fakhruddin (kanan) pada sesi perbincangan dan taklimat bersama pihak Rapid Bas Kuantan di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Lipis baru-baru ini. - Foto Facebook Fakhruddin Ariff

"Langkah itu dilaksanakan bagi mengelakkan kesesakan dalam Bandaraya Kuantan dan mudahkan rakyat untuk ke destinasi utama selain memastikan perkhidmatan bas Rapid sentiasa ada untuk rakyat.

"Alhamdulillah, Rapid Kuantan bersetuju dengan cadangan ini dan ia akan dilaksanakan bermula 1 November ini," jelasnya lagi.

Beliau berkata, pihak Rapid Kuantan juga diminta untuk melaporkan keadaan terkini semua perhentian bas di daerah Kuantan dan Pekan.

"Mereka (Rapid Kuantan) turut diminta mengemukakan contoh perhentian bas yang lebih baik dan efisien untuk dipertimbangkan kerajaan negeri.

"Selain itu saya turut mengusulkan konsep penajaan atau subsidi tambang percuma kepada rakyat kurang kemampuan untuk menggunakan bas Rapid yang akan ditanggung kerajaan negeri sepenuhnya," katanya.

Menurutnya, cadangan itu akan dibawa untuk perhatian Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

"Perkara ini akan dibentang dalam Mesyuarat Exco untuk dibincang dan dipertimbangkan.

"Kerajaan negeri sentiasa komited meningkatkan usaha bagi menggalakkan rakyat menggunakan bas awam selain membantu Rapid Kuantan meningkatkan mutu perkhidmatan," katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!