40 klinik, hospital di Kelantan berisiko banjir

Dr Zaini (tengah) dan Dr Shaharum (tiga dari kiri) bergambar dengan peserta persidangan di Kota Bharu pada Sabtu.
Dr Zaini (tengah) dan Dr Shaharum (tiga dari kiri) bergambar dengan peserta persidangan di Kota Bharu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengenal pasti lebih 40 fasiliti kesihatan terdiri daripada klinik dan hospital di negeri ini berisiko terjejas akibat banjir.

Angka itu dilihat berdasarkan pengalaman dan kejadian banjir yang berlaku saban tahun.

Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, kemudahan kesihatan berisiko itu terletak di daerah-daerah biasa banjir antaranya Kuala Krai, Tumpat, Rantau Panjang, Tanah Merah dan Pasir Mas.

Menurutnya, jumlah itu bagaimanapun boleh berubah mengikut faktor cuaca dan beberapa penyebab lain yang mengundang permasalahan banjir.

“Risiko banjir boleh meningkat, salah satunya kerana pembangunan yang tidak terancang, masalah perparitan dan saliran.

“Sebagai contoh pada tahun lepas, kami tidak jangkakan banjir berlaku di Pasir Puteh, tetapi perkara itu terjadi.

"Sebab itu, kami berjaga-jaga di kesemua premis kesihatan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Asia Pacific Cardiology Update@Universiti Sains Malaysia (USM) 2023 (APCU) kali ke-14 di sini, pada Sabtu.

Turut hadir, Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr Shaharum Shamsuddin.

Artikel Berkaitan:

Dr Zaini berkata, beberapa siri mesyuarat bersama Pusat Tanggungjawab dan kerajaan negeri sudah dibuat bagi persediaan menghadapi Monsun Timur Laut.

Ujarnya, persiapan merangkumi prosedur operasi standard, penyelarasan kakitangan terlibat dalam pengurusan banjir dan logistik bagi pemindahan pesakit jika hospital atau klinik terjejas.

“Pasukan di pejabat-pejabat kesihatan dan hospital-hospital diarahkan untuk melengkapkan aset logistik selain mengenal pasti lokasi pemindahan operasi serta pesakit ketika diperlukan.

“Kami juga perlu mengenal pasti pesakit-pesakit yang memerlukan rawatan berterusan seperti dialisis dan ibu hampir bersalin untuk proses pemindahan segera waktu banjir,” kata beliau.

Dr Zaini (tiga dari kiri) dan Dr Shaharum (kanan) melawat gerai pameran di Persidangan Asia Pacific Cardiology Update@Universiti Sains Malaysia (USM) 2023 (APCU) kali ke-14 di Kota Bharu.
Dr Zaini (tiga dari kiri) dan Dr Shaharum (kanan) melawat gerai pameran di Persidangan Asia Pacific Cardiology Update@Universiti Sains Malaysia (USM) 2023 (APCU) kali ke-14 di Kota Bharu.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Hospital USM kerana menjadi pusat jantung pertama di wilayah Pantai Timur yang melakukan Transcatheter Aortic Valve Implantation (TAVI) untuk merawat stenosis aorta yang teruk.

Beliau berharap hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia dan hospital universiti akan terus bekerjasama dalam pelbagai aspek demi penjagaan pesakit.

“Prosedur TAVI Hsopital USM ini ialah pencapaian terhebat di bawah bimbingan pakar kardiologi perunding kanan Profesor Datuk Dr Zurkurnai Yusof dan Dr W Yus Haniff W Isa sejak 2021.

“Dalam penekanan pada penyelidikan dan penjagaan kardiovaskular, penjagaan kesihatan dari universiti dan hospital juga penting bagi membolehkan penjagaan holistik serta berpusat untuk pesakit,” ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!