'Parti lain' yang dulu cakap lain, sekarang cakap lain - Takiyuddin
SHAH ALAM - Pas membidas kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad yang mendakwa presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak konsisten dalam tindakannya selain menyifatkannya sebagai 'hari ini cakap lain, esok cakap lain'.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebaliknya berkata, pihak yang bersikap tidak konsisten adalah 'parti lain', merujuk kepada parti dalam Kerajaan Perpaduan.
"Yang dulu cakap lain, sekarang cakap lain tu parti lain.
"Bukan hanya cakap tapi didokumenkan...apa yang disebut dalam manifesto bila jadi kerajaan tidak dilaksanakan, itu parti lain," katanya ketika sidang media di Bilik Media Muktamar Tahunan Pas Ke-69, di sini pada Sabtu.
Nik Nazmi dilapor berkata, Abdul Hadi 'hari ini cakap lain, esok cakap lain' dengan membangkitkan kenyataan yang pernah dikeluarkan Abdul Hadi terhadap pengundi bukan Melayu.
Katanya, pada Ogos tahun lepas, Abdul Hadi mendakwa golongan bukan Islam dan bukan bumiputera merupakan kumpulan majoriti menjadi perosak politik dan ekonomi negara.
Bagaimanapun, menerusi ucapan dasar sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-69 pada Jumaat, Abdul Hadi telah mengarahkan anggota Pas menarik undi bukan Islam.
Sementara itu, Takiyuddin berkata, Pas tidak pernah mengetepikan atau tidak mengiktiraf sokongan mahupun kehadiran orang bukan Islam.
"Kalau dengar ucapan (Abdul Hadi) selalu mengatakan kita (Pas) tak ada masalah dengan rakyat bukan Islam yang tidak ekstrem. Jadi yang ekstrem kita kerjasama dengan dia pun tak boleh.
"Sebagai contoh parti politik yang bersikap ekstrem terhadap Islam dan orang Melayu sendiri.
"Sekarang ini dalam Perikatan Nasional (PN) kita ada parti Gerakan, sejak dulu lagi kita ada banyak kerjasama dengan masyarakat bukan Islam, pernah kerjasama dengan CCC (Chinese Consultative Council), pernah bersama DAP dalam Pakatan Rakyat, dalam parti-parti Melayu yang ada orang bukan Melayu," katanya.
Beliau turut mengakui bahawa Pas turut mempunyai hubungan baik dengan parti-parti komponen Barisan Nasional seperti MCA dan MIC.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!