TSG pertahan gelaran juara Asia 2023

TSG melakar sejarah tersendiri apabila mengekalkan gelaran nombor satu Asia dalam ranking Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) buat kali ketiga berturut-turut tahun ini. - Foto Facebook TSG
TSG melakar sejarah tersendiri apabila mengekalkan gelaran nombor satu Asia dalam ranking Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) buat kali ketiga berturut-turut tahun ini. - Foto Facebook TSG
A
A
A

PASUKAN berbasikal bertaraf benua Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) melakar sejarah tersendiri apabila mengekalkan gelaran nombor satu Asia dalam ranking Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) buat kali ketiga berturut-turut tahun ini.

TSG muncul juara Asia selepas mengatasi pasukan Roojai Online Insurance dari Thailand di tempat kedua manakala wakil Jepun, JCL Team UKYO di tempat ketiga.

Selain mengulangi kejayaan diraih pada 2021 dan 2022 itu, TSG turut dinobatkan pasukan terbaik benua dan memperbaiki ranking dengan menduduki tempat ke-30 daripada 215 pasukan berbasikal dunia.

Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus berkata, kejayaan dicapai pasukan yang terdiri daripada sembilan pelumba tempatan dan empat import itu adalah hasil usaha keras dan sokongan pihak terlibat.

"Alhamdulillah kita berjaya menamatkan saingan tahun ini dengan cemerlang apabila mempertahankan gelaran juara Asia, menjadi juara baharu pasukan terbaik benua dan memperbaiki kedudukan dunia daripada tempat ke-31 pada 2022 ke tempat 30 musim ini.

"Ini adalah hasil usaha keras semua pihak termasuk pelumba, jurulatih, pihak pengurusan dan penaja yang sentiasa memberi sokongan dalam pelbagai bentuk," katanyanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Selain kejayaan pasukan, Nasiruddin berkata, pelumba import dari Mongolia, Jambaljamts Sainbayar muncul pelumba kedua terbaik Asia.

Nasiruddin berkata, kejayaan diraih itu membeir motivasi dan inspirasi kepada TSG yang berpangkalan di Kuala Terengganu untuk membuat perancangan lebih rapi dan mantap musim depan.

Artikel Berkaitan:

"Untuk tahun depan kita sasarkan untuk mempertahankan gelaran juara Asia dan benua selain memperbaiki kedudukan dunia. Walaupun sukar, insya-Allah kita mampu mencapainya dengan usaha serta perancangan yang baik," katanya.

TSG musim 2023 dibarisi pelumba terbaik iaitu Mohd Harrif Saleh, Mohd Shahrul Mat Aminn, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, Irwandie Lakasek dan Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff.

Pelumba lain termasuk Wan Abdul Rahman Hamdan, Zuladri Amin Zulkurnain Malaysia, Kee Zhe Yie, Muhammad Shahmir Aiman Abd Halim, Youcef Reguigui, Metkel Eyob, Jeroen Meijers, Sainbayar, Anatolii Budiak dan Jesse Ewart. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!