Pas parti pertama bangunkan Super App
SHAH ALAM - Pas menjadi parti politik pertama di negara ini yang mempunyai Super App sendiri, iaitu aplikasi MyOnePas dalam usaha mendigitalisasikan pentadbiran dan pengurusannya.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, aplikasi yang dibangunkan oleh bahagian pentadbiran parti itu akan merangkumi segala maklumat berkaitan keahlian, sumbangan dan informasi Pas.
Jelasnya, ciri-ciri dalam aplikasi itu akan diperluaskan dengan SkimPas, Pasti, PasNews, PasPay, PasPoll, PasMonitor, PasApps, PasDeal, PasMoney, Pas Experience, Pas999, PasData.
“Aplikasi ini boleh digunakan oleh semua, bukan ahli sahaja dan mereka juga berpeluang untuk mendapat kad fizikal MyOnePas Mastercard, yang berfungsi seperti kad debit dengan menyediakan fungsi e-dompet sepenuhnya.
“Kita bekerjasama dengan sebuah syarikat IT untuk menjayakan projek ini.
"Super App ini dikuasakan oleh PasPay Merchant dan usaha digitalisasi ini dikuatkan lagi dengan penjenamaan bersama Mastercard.
“Pengeluaran kad prabayar MyOnePas Mastercard ini akan memudahkan ahli untuk membuat sebarang transaksi, maknanya semua transaksi dapat dibuat melalui aplikasi ini,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan MyOnePas Super App sempena Muktamar Pas Ke-69 di Ideal Convention Center (IDCC) di sini pada Sabtu.
Pelancaran disempurnakan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan turut disertai Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man serta Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar
Tambah Takiyuddin, buat masa sekarang, pihaknya masih dalam proses untuk menstabilkan aplikasi itu dan pengguna android sudah boleh muat turun.
“Aplikasi mudah alih ini memfokuskan ciri-ciri gaya hidup Islamik dan turut menyediakan waktu solat serta arah kiblat.
“Ia juga menawarkan fungsi e-Wallet, cashless dan QR payment, pengguna boleh top up sehingga RM35,000 iaitu RM10,000 untuk e-Wallet dan RM25,000 untuk kad.
“Sekarang ini, Pas mempunyai kira-kira 8,000 ahli yang menyumbang secara bulanan melalui infaq istiqamah.
"Jadi, dengan adanya aplikasi ini, ia lebih memudahkan mereka untuk menyumbang kepada parti dan kita harap lebih ramai yang akan menyumbang,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!