UMPSA digesa tingkat kolaborasi strategik dengan rakan industri
KUANTAN - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) digesa meningkatkan kolaborasi strategik dengan pelbagai rakan industri termasuk universiti lain sebagai usaha memartabatkan institusi pengajian tinggi awam itu untuk terus unggul.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah jalinan kerjasama tersebut dilakukan sama ada di dalam mahu pun di luar negara.
"Penyelidikan dalam pembangunan mampan dan teknologi hijau perlu terus diperkayakan selaras dengan matlamat pembangunan mampan 2030.
"Begitu juga dengan penyelidikan dalam bidang baharu seperti Robotik dan teknologi tinggi berasaskan kecerdasan bantuan, perlu menjadi keutamaan sejajar dengan keperluan industri negara pada hari ini," titah baginda.
Seri Paduka Baginda bertitah demikian pada Majlis Konvokesyen ke-18 UMPSA di kompleks sukan UMPSA Kampus Gambang di sini pada Sabtu.
Pada majlis itu, baginda berangkat menyempurnakan istiadat pemasyhuran UMPSA dan pengurniaan watikah pemasyhuran Pro-Canselor kepada Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Naib Canselor UMPSA, Profesor Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin.
Dalam majlis konvokesyen itu, seramai 4,584 graduan akan menerima ijazah dan diploma masing-masing majlis konvokesyen itu,
Baginda bertitah, sebagai sebuah universiti yang berasaskan Sains, Teknologi dan Kejuruteraan, UMPSA memperkasakan pendidikan teknikal dan latihan vokasional.
Titah baginda, ini bagi memenuhi permintaan dalam Rancangan Malaysia ke-13.
"Pada hemat beta, semua usaha-usaha ini bakal memartabatkan keunggulan dan melonjakkan pencapaian penarafan universiti ini.
"Selain itu, momentum kecemerlangan yang berterusan juga mampu membawa sumbang besar kepada sosial-ekonomi negara dan berupaya meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia," titah baginda.
Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa bangga di atas kesudian Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan semua pihak yang terlibat kerana mengabadikan nama baginda kepada universiti ini.
"Beta berdoa, menerusi penjenamaan ini ia akan membawa semangat kepada universiti ini untuk membentuk aspirasi cemerlang dalam semua bidang pada masa akan datang.
"Justeru, nama baik universiti ini hendaklah di tatang bagaikan minyak yang penuh oleh para graduan, ahli akademik, pentadbiran, kepimpinan dan Lembaga pengarah," titah baginda lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!