PRK Jepak: Jangan guna media sosial untuk provokasi
BINTULU - Pengguna media sosial diingatkan agar tidak membuat hantaran berunsur provokasi dan hasutan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, siasatan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan undang-undang lain boleh digunakan pihak berkuasa sekiranya didapati wajar.
"Keadaan keselamatan di kawasan Jepak adalah aman dan terkawal... cuma saya mahu nasihatkan pengguna media sosial agar menjadi pengguna yang baik dan tidak mengeluarkan atau menyebarkan perkara tidak betul,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat penamaan calon bagi PRK itu di Dewan Suarah Bintulu di sini pada Sabtu.
Sementara itu, beliau berkata, polis akan memantau sebarang aktiviti perjudian yang dikaitkan dengan PRK Jepak walaupun mereka belum menerima sebarang maklumat lagi berhubung kegiatan itu di sini.
"Memang dalam skop (tugasan) kita. Setakat ini belum ada maklumat yang kita terima (berhubung) betting bagi menentukan keputusan. Kita memang fokuskan juga tentang (perkara) itu," katanya.
PRK DUN Jepak menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon GPS, Iskandar Turkee; calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), Chieng Lea Phing.
PRK DUN Jepak pada 4 November ini diadakan susulan kematian penyandang kerusi itu Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lepas.
DUN Jepak mempunyai 22,804 pemilih yang terdiri daripada 22,761 pengundi biasa dan 43 anggota polis. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!