RUU KATF 2023 'ikat' menteri, kerajaan urus kewangan negara lebih berdisiplin
SHAH ALAM - Pengenalan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (RUU KATF 2023) dijangka akan 'mengikat' menteri dan kerajaan untuk menguruskan kewangan negara dengan lebih berdisiplin.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, RUU KATF 2023 ini akan memberi impak positif kepada negara dan dilihat sesuatu perkembangan yang cukup positif terhadap pentadbiran negara ketika ini.
"Akta ini bertujuan untuk memperkukuhkan kedudukan kewangan awam dan menggariskan kaedah pengurusan kewangan yang lebih berdisiplin dan telus. Ini termasuk mengkanunkan sasaran-sasaran ekonomi seperti perbelanjaan pembangunan, baki fiskal, paras hutang dan had jaminan kerajaan.
"Saya agak tertarik dengan prinsip pengurusan dasar fiskal yang dikehendaki untuk mempertimbangkan impak ke atas kesejahteraan generasi kini dan akan datang," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Terdahulu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan pembentangan RUU KATF 2023 merupakan satu sejarah baharu dalam agenda pembaharuan fiskal negara.
Menurutnya, RUU ini adalah ke arah meningkatkan tata kelola, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pengurusan kewangan awam.
RUU ini dijangka dapat menambah baik rangka kerja perundangan kewangan awam dan menjadi pelengkap kepada Akta Tatacara Kewangan 1957. Ini kerana RUU KATF 2023 memberi tumpuan kepada dasar dan strategi kerajaan dalam pengurusan fiskal manakala ATK 1957 menekankan aspek pengurusan dan kawalan kewangan awam.
Mengulas lanjut, Mohd Hasyudeen menegaskan melalui RUU KATF 2023 ini, laporan-laporan seperti laporan prestasi perbelanjaan pertengahan tahun membolehkan prestasi pengurusan kewangan kerajaan dinilai pada jangka masa yang lebih kerap.
"Akta ini menjelaskan tanggungjawab Menteri Kewangan di dalam perumusan dan pelaksanaan dasar fiskal, hasil, perbelanjaan awam, pengurusan hutang dan pinjaman serta pengurusan risiko fiskal.
"Kegagalan pematuhan tanggungjawab ini akan menjadi pelanggaran undang-undang," katanya lagi.
RUU KATF 2023 mengandungi enam fasal dan dua jadual berteraskan kepada prinsip pengurusan fiskal yang bertanggungjawab seperti undang-undang tanggungjawab fiskal terkini di kebanyakan negara.
Prinsip tersebut ialah memastikan kestabilan makroekonomi, mencapai dan mengekalkan tahap hutang yang berhemat dan memastikan pengurusan risiko fiskal yang berkesan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!