26 tan sisa kitar semula dikumpul dalam program 'Singgit Seposen'

Kalsom (tengah) melihat minyak masak terpakai yang dibeli syarikat kitar semula daripada pengguna pada program 'Singgit Seposen':Infineon dan Komuniti, di sini pada Sabru. - Foto Bernama
Kalsom (tengah) melihat minyak masak terpakai yang dibeli syarikat kitar semula daripada pengguna pada program 'Singgit Seposen':Infineon dan Komuniti, di sini pada Sabru. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Sebanyak 26,000 kilogram (kg) sisa kitar semula berjaya dikumpulkan melibatkan bayaran kepada pengguna berjumlah RM13,000, menerusi enam program 'Singgit Seposen' yang dianjurkan di negeri ini sejak 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM), Ismail Hashim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 7,000 kg sisa kitar semula berjaya dikumpul dengan jumlah bayaran RM4,000 menerusi dua program berkenaan pada tahun ini sehingga semalam.

Beliau berkata, menerusi program itu, sebanyak tujuh kategori sisa kitar semula iaitu minyak masak, fabrik, elektronik, tin aluminium, botol kaca, kertas dan botol plastik dibeli daripada pengguna pada harga antara 10 sen hingga RM2.50 sekilogram, bergantung kepada kategori.

"Kita melihat penganjuran program 'Singgit Seposen' ini mendapat sambutan amat menggalakkan daripada pengguna sekali gus menunjukkan kesedaran kitar semula dalam kalangan rakyat semakin meningkat.

"Program ini memudahkan pengguna membuang sisa kitar semula selain dapat menjana pendapatan menerusi penjualan sisa berkenaan dan membantu mengurangkan pelepasan karbon dioksida," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas program 'Singgit Seposen':Infineon dan Komuniti di Dewan Undangan Negeri Pengkalan Batu yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan, Datuk Kalsom Nordin.

Ismail berkata, penganjuran 'Singgit Seposen' melibatkan pelbagai pihak antaranya komuniti rukun tetangga, komuniti setempat, agensi kerajaan negeri dan swasta serta institusi pengajian tinggi dan sekolah.

Program itu katanya dilaksanakan menerusi peruntukan yang disalurkan kerajaan negeri dalam usaha memperkasa pelbagai program berkaitan teknologi hijau di Melaka.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Kalsom berkata, program itu akan diperluas dan dianjurkan lebih kerap di kawasan DUN Pengkalan Batu agar pengurusan sisa kitar semula dapat dilakukan dengan baik, sekali gus mengelak sisa itu dibuang ke dalam sungai, longkang atau saliran, yang akhirnya menimbulkan pelbagai masalah seperti banjir kilat, bau busuk dan kotor.

Selain pengumpulan sisa kitar semula, beliau berkata sesi ceramah berkaitan kepentingan kitar semula dan menjaga alam sekitar perlu diadakan pada program 'Singgit Seposen'. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!