Alumni KGV tetap bertenaga walaupun cecah 70-an

Suasana riuh dengan gelak tawa, celoteh serta alunan muzik 'menggamatkan’ perjumpaan semula bekas pelajar Sekolah Menengah King George V yang kini dikenali Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) KGV di sebuah restoran baru-baru ini. - Foto Bernama
Suasana riuh dengan gelak tawa, celoteh serta alunan muzik 'menggamatkan’ perjumpaan semula bekas pelajar Sekolah Menengah King George V yang kini dikenali Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) KGV di sebuah restoran baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

PORT DICKSON - Suasana riuh dengan gelak tawa, celoteh serta alunan muzik 'menggamatkan’ perjumpaan semula bekas pelajar Sekolah Menengah King George V yang kini dikenali Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) KGV di sebuah restoran baru-baru ini.

Kumpulan bekas pelajar Tingkatan 6 Atas yang meninggalkan sekolah itu 50 tahun lepas demi mengejar cita-cita, ada dalam kalangan mereka kali pertama bertemu kembali rakan sekelas selepas meninggalkan sekolah dengan kebanyakannya telah bersara, menjaga cucu dan tidak kurang masih bergiat aktif dalam bidang diceburi.

Antara yang hadir pada jamuan makan tengah hari itu bekas duta Malaysia ke Belanda Datuk Fuziah Mohd Taib, Datuk Mohammed Najeeb Abdullah (bekas ahli Dewan Negara 2020-2013), Datuk Mohamad Ayob Abu Hassan (bekas penasihat Affin Hwang Asset Management Sdn Bhd) dan Datuk Aziyah Mohamed (bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar kini Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim).

Turut memeriahkan suasana perjumpaan semula itu ada dalam kalangan mereka bergelar guru, profesor, jurutera, doktor, doktor gigi, pegawai bank, bekas wartawan penyiaran yang pernah berkhidmat di Hong Kong selama tiga dekad, usahawan, eksekutif IBM dan setiausaha agung Persatuan Majikan Sabah.

"Perjumpaan semula ini sangat penting kepada warga KGV dari aliran Seni dan Sains kerana sudah hampir 50 tahun sejak kami meninggalkan sekolah. Sudah tentu kebanyakan daripada kami sudah bersara,” kata Fauziah selaku pengerusi jawatankuasa perjumpaan semula KGV Class of 1973 kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau yang digelar Georgia sejati kerana telah belajar di KGV sejak Tahun 1 dan baginya pertemuan ini paling diingati.

"Saya sangat terharu apabila merencanakan perjumpaan semula ini, ramai hadir dan ada yang datang dari Sabah. Kami semua gembira dapat berjumpa dan bersembang,” katanya.

Lebih manis menurut Fauziah, perjumpaan semula mereka berlangsung dalam tahun sama KGV mencapai usia 100 tahun penubuhannya pada 15 Januari lepas.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohammed Najeeb berkata, pertemuan bersama rakan-rakan KGV membawa banyak kenangan manis, selain turut berbangga rakan sekelasnya berjaya dalam kerjaya mereka dengan beberapa daripadanya memegang jawatan tinggi dalam sektor awam dan swasta.

Mohammed Najeeb yang mempunyai pengalaman kira-kira 35 tahun dalam bidang perbankan konvensional dan Islam berkata, beliau gembira kerana kebanyakan rakan lama masih sihat dan bertenaga.

"Apabila mencecah umur 70 tahun, amalan pemakanan perlu dijaga. Bersenam juga satu kemestian. Acara seperti perjumpaan semula ini akan memastikan kita sentiasa berhubung. Membaca dan bersosial adalah cara terbaik untuk memastikan diri kita sentiasa aktif,” katanya.

Menurut Mamman George, ia sesuatu yang jarang berlaku untuk berkumpul dengan begitu ramai kawan, untuk berkenalan semula dan mengimbau kenangan dicipta 50 tahun lepas.

"Bagi saya, kami belajar daripada guru yang baik. Kami belajar bagaimana rasanya bekerja keras dan bermain bersama. Kami belajar daripada satu sama lain - kerja berpasukan dan saling menghormati, pelajaran yang membantu kami meneruskan hidup pada masa depan yang kami cipta dalam pelbagai bidang,” menurut Mamman.

Memulakan majlis perjumpaan semula itu, bekas pelajar telah menyanyikan lagu sekolah dengan penuh semangat, meneliti gambar hitam putih yang terlekat di dinding sekolah selain acara cabutan bertuah bagi memeriahkan lagi majlis.

Warga KGV itu turut menyaksikan tayangan slaid yang memamparkan wajah-wajah mereka pada zaman persekolahan sehingga sekarang, sekali gus mencetuskan gelak ketawa. Pada masa sama, mereka turut mengenang guru-guru dan rakan-rakan yang telah meninggal dunia.

SMK KGV terkenal dengan melahirkan tokoh-tokoh terkemuka daripada pegawai tinggi kerajaan sehinggalah kepada usahawan dan pemimpin berkaliber. KGV dinamakan sempena nama Raja England ketika itu King George V. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!