Nahas Muslimat Pas: Jenazah semua mangsa selamat dikebumi

Imaduddin Md Nor, 24, anak keenam dari lapan beradik sebak ketika melihat jenazah ibunya Taibah Sulaiman, 61, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Teluk Wang pada Sabtu. - Foto Bernama.
Imaduddin Md Nor, 24, anak keenam dari lapan beradik sebak ketika melihat jenazah ibunya Taibah Sulaiman, 61, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Teluk Wang pada Sabtu. - Foto Bernama.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Jenazah Ketua Muslimat Pas Sungai Petani, Taibah Sulaiman, 61, dan Ketua Ameerah Pas Sungai Petani, Nor Fatihah Nabilah Bukri, 23, selamat dikebumikan di kampung halaman masing-masing di Sungai Petani, pada Sabtu.

Jenazah Taibah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Wang, Sungai Petani pada jam 9.40 pagi, disusuli jenazah Nor Fatihah yang dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Bukit Berangan, Sungai Petani jam 11 pagi.

Kira-kira 500 orang terdiri daripada rakan dalam parti, ahli keluarga dan kenalan hadir untuk memberi penghormatan terakhir ke atas kedua-dua jenazah.

Menurut anak keenam Allahyarhamah Taibah, Imaduddin Md Noor, 24, kali terakhir dia bertemu ibunya ketika menghantarnya ke Stesen Bas Sungai Petani untuk menaiki bas bersama rombongan ke Muktamar Tahunan Pas di Shah Alam, Selangor Rabu lalu.

Katanya, sewaktu dalam perjalanan dia sempat berbual dengan ibunya mengenai mati syahid dan pergolakan yang berlaku di Palestin.

“Saya yang hantar Umi (arwah) dekat stesen bas Sungai Petani untuk pergi Muktamar Pas di Shah Alam.

“Arwah selalu cerita pasal syahid tambah pula sekarang isu hangat dekat Palestin. Umi kata saya anak lelaki bolehlah pergi jihad boleh dapat syahid, Umi ni perempuan payah Umi dah dapat yang apa Umi nak, Umi selalu cerita pasal kematian orang yang baik-baik,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Wang, di sini, pada Sabtu.

Jelas Imaddudin, dia mengetahui kemalangan menimpa ibunya melalui kumpulan WhatsApp keluarga dan pada mulanya menyangka ibunya hanya cedera ringan.

Namun katanya, ketika sedang bersiap untuk ke Hospital Slim River adiknya memberitahu yang ibu mereka sudah meninggal dunia.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, suami Allahyarham, Md Noor Hasan, 61, berkata, dia reda dengan pemergian isterinya itu.

“Dia (arwah) sembahyang tepat waktu. Arwah selalu berpesan kepada anak bongsu yang belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) supaya membaca Al-Quran setiap malam,” ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan, Taibah, Fatihah Nabilah, dan Nurul Najihah yang juga Penolong Setiausaha Dewan Muslimat Pas Kawasan Sungai Petani meninggal dunia ketika sedang membantu mangsa kemalangan di Kilometer 390 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Behrang, Perak.

Dalam kejadian itu, Taibah dan Fatihah Nabila maut di tempat kejadian manakala Nurul Najihah meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Slim River semasa menerima rawatan. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!