Dewan Perhimpunan Cina Kedah kesal nama disalah guna, dikait politik
ALOR SETAR - Dewan Perhimpunan Cina Kedah kesal apabila nama pertubuhan itu disalahgunakan untuk menyatakan sokongan sepenuhnya kepada Kerajaan Perpaduan pada pilihan raya negeri (PRN) yang lalu.
Pengerusinya, Datuk Cheng Lai Hock berkata, pertubuhan itu mengambil sikap neutral dan sentiasa menjalin kerjasama baik sama ada dengan kerajaan di peringkat Persekutuan mahupun kerajaan negeri.
Menurutnya, pihaknya enggan dikaitkan dengan mana-mana parti politik namun sentiasa mengambil tahu perkembangan politik semasa untuk kepentingan sosial dan ekonomi negara.
“Baru-baru ini tular video di media sosial memaparkan sidang media anjuran badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Rakyat Aman (SUARA) yang diadakan pada Julai.
“Kami terkejut dengan kandungan video berkenaan kerana nama Dewan Perhimpunan Cina Kedah disebut sebagai menyokong deklarasi, sedangkan wakil pertubuhan tidak hadir. Disebabkan itu kami tampil untuk perjelaskan situasi sebenar,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Sabtu.
Sebelum ini tular di media sosial video sidang media menyatakan deklarasi sokongan lebih 100 NGO Kedah kepada Kerajaan Perpaduan, pada 25 Julai lalu.
Namun pihak penganjur menyatakan terdapat kesilapan teknikal yang tidak disengajakan yang mana NGO yang tidak hadir turut disenaraikan dan disebut sebagai menyokong deklarasi berkenaan.
Lai Hock memaklumkan, turut tertera pada video tular berkenaan petikan mengecam akhlak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan ia sedikit sebanyak mencalarkan imej pertubuhan itu, yang langsung tiada kaitan dengan deklarasi berkenaan.
“Walaupun kami ada terima surat permohonan maaf daripada SUARA pada Jumaat berhubung salah faham susulan edaran video berkenaan, namun ia tidak mencukupi.
“Dewan mohon agar pihak penganjur meminta maaf secara terbuka dan bukan secara peribadi dengan menghantar surat selain mahu kenyataan tersebut ditarik balik serta pengedaran video itu dihentikan,” jelasnya.
Menurutnya, pertubuhan berkenaan diberikan tempoh dua minggu untuk berbuat demikian atau berdepan dengan tindakan susulan.
“Kesannya serius kerana melibatkan 187 NGO yang menjadi ahli kami, memang Dewan Perhimpunan Cina Kedah dan Persatuan Teochew Kedah/Perlis dijemput menghadiri program bersama NGO Kedah pada 25 Julai lalu, namun kami tidak menghantar wakil.
“Ia tidak harus melibatkan pertubuhan kami. Kami ingin menekankan tidak terlibat dalam hal ehwal politik kepartian namun mengambil berat isu politik kerana ia melibatkan kehidupan harian dan masa depan negara,” jelasnya.
Tegas Lai Hock, pendirian mereka adalah untuk bekerjasama dengan mana-mana kerajaan yang ditubuhkan melalui proses demokrasi yang dipilih rakyat, tanpa dipengaruhi ideologi politik.
“Kami sedaya upaya akan bekerjasama dengan kerajaan sama ada peringkat pusat atau negeri untuk membela hak-hak rakyat, sama ada secara keseluruhan atau komuniti.
“Pendirian kami tidak mahu dikaitkan dengan politik, sekiranya ada ahli yang menunjukkan sokongan kepada parti tertentu, ia merupakan sokongan peribadi dan bukan mewakili Dewan,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!